
KAHERAH, 29 Ogos – Isma-Mesir Syukbah Madinah Nasr telah menganjurkan sebuah forum yang bertajuk Hala Tuju Melayu Pasca Merdeka malam kelmarin. Forum yang mengedepankan 3 orang ahli panel dan seorang moderator tersebut telah diadakan di Dewan Daha KMJ, Hayyu Asyir. Forum tersebut yang juga merupakan kemuncak kepada Kempen Selamatkan Ummah yang telah berlangsung selama seminggu telah dihadiri oleh tidak kurang daripada 90 orang mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai Universiti di Kaherah.
Menurut pengarah Kempen Selamatkan Ummah, Ustaz Ahmad Jihad Bin Abdul Halim, antara objektif penganjuran program sebegini adalah bagi mengembalikan semangat patriotisme yang semakin hilang dalam kalangan mahasiswa disebabkan asakan musuh-musuh Islam yang bertalu-talu.
Antara idea menarik yang dikongsikan oleh salah seorang ahli panel, Ustaz Amar Ismat Mohd Nasir dalam forum tersebut adalah umat Islam di Malaysia harus bertindak atas kepentingan umat bukan mengikut telunjuk pihak asing. Seharusnya wujud tawafuk (persepakatan) antara kumpulan-kumpulan Islam, tawafuk antara kumpulan Melayu-Islam dengan pemerintah, dan tawafuk antara rakyat secara keseluruhannya. Menurut beliau lagi, umat Islam di Malaysia wajib mempertahankan identiti keislaman masyarakat dan negara.