
KAHERAH, 14 Februari – Selepas dua minggu bercuti sempena musim sejuk merangkap pengakhiran semester satu bagi sesi akademik di universiti-universiti di Perlembahan Nil ini, kini sesi pengajian bakal bermula kembali pada hari ini bagi kebanyakan fakulti.
Menurut Ustaz Abdur Rahman Bin Raji, graduan Universiti Al-Azhar dari Fakulti Usuluddin, yang juga merupakan Exco Biro Penerangan ISMA Mesir, antara punca masalah akademik penuntut di Mesir adalah tidak displin untuk hadir ke dewan kuliah. Maka saranan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi di Perlembahan Nil untuk memberikan komitmen dalam menghadiri kelas-kelas pengajian adalah amat ditekankan. Saranan beliau; “para penuntut dari semua jurusan pengajian di Mesir harus bermujahadah dalam mendisplinkan diri untuk hadir ke dewan kuliah, walaupun sistem pembelajaran menara gading di Mesir terutamanya Al-Azhar tidak begitu menekankan soal ini. Barangsiapa yang kerap hadir ke dewan kuliah, ini akan meningkatkan kualiti ilmu para penuntut lantas menyiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan kelak”.
Tambahan pula, lazimnya peperiksaan akhir semester satu diadakan pada sebelum musim cuti, namun terdapat juga fakulti dan tahun pengajian yang bakal menghadapi peperiksaan berikut sejurus mulanya sesi kuliah semester dua.
Menurut kajian lapangan yang dilakukan wartawan ISMA Mesir, antara aktiviti pilihan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir sepanjang musim cuti kali ini merangkumi dari menghadiri kelas-kelas alternatif atau seminar hingga ke bermusafir ke negeri Eropah. Namun ada juga yang memilih untuk meluangkan masa di rumah dan berlibur bersama rakan-rakan di tempat sekitar sahaja.