
HAYYU ASYIR, 21 Sept – YBhg. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Radhi bin Hj. Ibrahim, Menteri Penasihat (Pendidikan) di Education Malaysia Egypt (EME) dengan jayanya telah merasmikan perpustakaan yang telah diusahakan oleh ISMA Mesir dengan kolaborasi bersama Majlis Ulama’ ISMA (MUIS) Mesir. perpustakaan yang diberi nama Maktabah Al-Hikmah tersebut terletak di Bawabah 2, Hayyu Asyir, Madinah Nasr Kaherah.
Objektif utama penubuhan Maktabah Al-Hikmah adalah bagi merealisasikan seruan ‘berkualiti’ yang merupakan antara empat seruan ISMA Mesir terhadap semua mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir. Perpustakaan ini juga merupakan antara inisiatif ISMA Mesir bagi menyediakan suasana yang kondusif kepada mahasiswa dan mahasiwi terutama ahlinya untuk mengadakan sesi tutorial akademik mahupun meluangkan masa mentelaah bahan ilmiah.
Maktabah Al-Hikmah juga menyediakan pelbagai sumber rujukan akademik terutamanya dalam jurusan pengajian agama Islam dan berhasrat untuk menyediakan bahan bacaan bagi penuntut jurusan sains perubatan masa akan datang. Selain itu, Maktabah Al-Hikmah juga dilengkapi dengan bilik tutorial, sebuah bilik kursus dan sebuah studio yang masih dalam proses penyelenggaraan.
YBhg. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Radhi dalam perkongsiannya bersama barisan Jawatankuasa Pusat ISMA Mesir semalam mensarankan kepada mahasiswa dan mahasiswi agar lebih melazimkan diri untuk bergaul bersama masyarakat tempatan supaya dapat mengenali budaya Mesir dengan lebih mendalam, di samping memperkukuh menguasaan bahasa arab.
Dalam pada itu, YBhg. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Radhi juga menasihati agar para mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir supaya bijak meletakkan keutamaan untuk menghadiri kuliah pengajian, daripada sibuk mengurus aktiviti-aktiviti persatuan. Perkara ini juga merupakan polisi di Mahtabah Al-Hikmah yang amat menggalakkan kehadiran para mahasiswa dna mahasiwi pada waktu tamat kuliah harian dan pada waktu cuti semester.