Blog Isma Mesir

81% Ahli ISMA-Mesir Cemerlang Peperiksaan Universiti Al-Azhar

July 30, 2015

IMG_9918Kaherah, 29 Julai – Keputusan pengajian Islam Universiti Al Azhar baru – baru ini telah menunjukkan rekod yang cemerlang dalam kalangan ahli asatizah Isma Mesir.

Sebanyak 81 peratus daripada jumlah asatizah ISMA-Mesir, telah cemerlang dan berjaya menaiki tahun untuk menyambung pelajaran pada sesi akan datang. Statistik pencapaian akademik ahli Isma Mesir menunjukkan dua jurusan yang paling cemerlang ialah mahasiswa Ulum Islamiyyah tahun satu dan tahun dua serta mahasiswa jurusan Syariah Islamiah tahun tiga dengan kedua-duanya menunjukkan kenaikan 100 peratus.

Dalam kesibukan menyediakan program untuk pembinaan jati diri seorang muslim, ISMA-Mesir turut membuktikan keberjayaan dalam seluruh aspek pembinaan ahlinya dalam kalangan mahasiswa termasuklah kesihatan, pelajaran dan aktiviti berpersatuan. Hal ini lebih dibuktikan dengan kejayaan lima orang ahlinya yang meraih keputusan Jayyid Jiddan serta seorang yang mendapat keputusan Mumtaz.

Pengerusi ISMA-Mesir, Ustaz Umar Farouq Bin Morhalim ketika di temuramah telah mengulas, “Umat Islam hari ini sudah kehilangan tokoh-tokoh dalam segenap bidang keilmuan walhal satu ketika dahulu Islam menerajui manusia untuk mengenal Allah dengan ulum syara dan ilmu-ilmu keduniaan. Usaha mencetak dan menghasilkan tokoh adalah tugasan bagi setiap Muslim dalam proses mengembalikan Islam pada tempatnya yang tertinggi ”

Beliau yang turut berjaya menjadi graduan Al Azhar tahun ini, menambah, ” Kesibukan dalam melaksanakan tugas dakwah bukanlah halangan bagi seorang pendakwah untuk terus cemerlang kerana ia merupakan sebuah hadiah buat umat. Sebab itu kami (ISMA-Mesir) sentiasa menjadikan tagline ‘Mumtaz untuk Ummah’ sebagai pegangan “.

Menyambut salah satu daripada seruan ISMA-Mesir iaitu berkualiti, ISMA-Mesir inginkan semua ahlinya secara khususnya, dan mahasiswa Mesir secara umumnya, menjadi seorang mahasiswa yang berkualiti dalam segenap aspek kehidupan. Para mahasiswa yang berkualiti inilah bakal menjadi peneraju dan membimbing negara ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini