
KAHERAH, 28 Jun – Seramai 200 ahli ISMA Mesir syukbah Madinah Nasr, Hayyu Sabie dan Abasiyyah-Sayyidah Zainab telah bertolak dari bandar Kaherah untuk menemui ahli ISMA Mesir yang lain dari pelbagai muhafazah yang lain bagi menjayakan Iftar Inter-Muhafazah 2015. Seawal jam 11 pagi semalam, rombongan pertama telah bertolak ke Iskandariah dan diikuti oleh rombongan ke Mansurah dan Tanta pada jam 2 petang.
Objektif utama Iftar Inter-Muhafazah ini dianjurkan oleh EXCO Hal Ehwal Dalaman (HED) ISMA Mesir adalah bagi merapatkan ukhuwah sesama ahli di samping memeriahkan lagi sambutan bulan Ramadhan yang mulia di tiga muhafazah tersebut. Peluang ini juga telah diambil bagi menerangkan kembali kepada semua ahli ISMA Mesir tentang sejarah penubuhan ISMA Mesir syukbah Iskandariah, Mansurah dan Tanta yang telah membawa signifikan besar terhadap pembentukan ISMA Mesir.
Rombongan dari Kaherah telah disambut meriah oleh para tuan rumah di ketiga-tiga muhafazah tersebut dengan tangan yang terbuka dan pelbagai juadah berbuka serta perkongsian tazkirah. Iftar Inter-Muhafazah ini merupakan antara aktiviti tahunan ISMA Mesir yang amat dinanti-nanti kerana bagai empedu lekat di hati, keakraban ukhuwah antara ahli ISMA Mesir amat dirai.