
TANTA, 19 Jun – Ramadhan kali ini lebih bermakna apabila diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Menyedari hakikat ini, ISMA Mesir syukbah Tanta telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan siri program ‘Ihya’ Ramadhan’ bertujuan bagi mengimarahkan sambutan bulan yang mulia ini.
Dimulakan dengan bacaan zikir petang, majlis iftor jamaie anjuran ISMA Tanta disambut baik oleh mahasiswa Tanta semalam. Majlis diserikan lagi dengan kuliah Ramadhan dan diakhiri dengan solat sunat taraweh dan sidikit jamuan moreh. Majlis telah diadakan di Beyt ISMA.
Kuliah Ramadhan telah dikendalikan oleh Ustaz Wan Ahmad Izzat Bin Wan Ahmad Sanadi, penuntut di Kuliah Syariah Universiti Al-Azhar, yang juga merupakan ketua ISMA Mesir syukbah Tanta. Dengan bertajuk Saifuddin Qutuz, Ustaz Izzat telah menerangkan bahawa Saifuddin Qutuz adalah tokoh pejuang Islam dalam Perang Ain Jalut yang telah berlangsung pada 25 Ramadhan 658 Hijrah ketika bala tentera mujahidin berjaya mengalahkan tentera Tatar yang dipimpin oleh Panglima Katabgha.
Ustaz Izzat juga mengingatkan kepada seluruh mahasiswa yang hadir tentang kepentingan mengenali tokoh Islam yang terdahulu dan sejarah Islam kerana hli ini merupakan aset utama kebangkitan umat Islam masa kini.
ISMA Mesir syukbah Tanta amat berbesar hati menjemput semua warga Bandar Tanta untuk bersama menyambut bulan Ramadhan yang penuh barakah ini di beyt ISMA, Tanta.