
ISKANDARIAH, 6 Jun – Buat julung kalinya Isma-Mesir syukbah Iskandariah telah mengadakan sebuah forum kesedaran mengenai bahaya gerakan kristianisasi. Bertempat di Convention Centre Alexandria University, forum tersebut membawa tajuk ‘SALIB DI HATI MALAYA’ , yang bertujuan khusus menyampaikan bahaya gerakan kristianisasi yang tersusun dari perspektif sejarah, serta ancaman moden yang melanda Malaysia.
” Pentarbiyahan dan kesedaran perlu sentiasa dilakukan dengan gencar agar tiada lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa malah menjadikan Malaysia negara bukan majoriti muslim” ulas Aiman bin Radzman, ahli Unit Kajian Isma Mesir.
Beliau telah menerangkan sejarah kristianisasi seawal abad ke-13 hinggalah era kolonisasi British yang membawa kristianisasi di Asia Tenggara khususnya Malaysia, malah menambah usaha pemurtadan evangelist sebagai suatu usaha terancang secara lansung mahupun tidak lansung. Panel kedua, saudara Suhayl bin Musauddin, Ketua syukbah Isma-Mesir Iskandariah telah menunjukkan data dan statistik berkenaan ancaman kristianisasi serta membongkar aktiviti-aktiviti pemurtadan.
Forum yang dihadiri sekitar 63 orang tersebut turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Ustaz Ahmad Soifi Bin Abdullah, Pengarah MARA Timur Tengah, Saudara Mohd Hasyimi Bin Mohd Nor, Pengerusi Haluan Siswa Mesir Iskandariah, Mohd Hasif Bin Raml, Pengerusi Yalla, dan juga Ustaz Muhammad Uzair Kamil Bin Saidi, Exco Khas Isma Mesir.