
Zaqaziq, 8 September – Wakil ISMA Mesir telah menziarahi mangsa kemalangan yang merupakan pelajar perubatan di Zaqaziq, Muhammad Syafiq bin Abdullah Hashim dan Muhammad Miftahuddin bin Sufiyan semalam.
ISMA Mesir yang diwakili oleh Ustaz Siddiq Mohd Amin dan Ustaz Muhammad Amirul Azmi telah menziarahi Muhammad Miftahuddin di rumah kenalannya, manakala Muhammad Syafiq di hospital.
Dalam sesi ziarah itu, wakil ISMA Mesir sempat bertanyakan perkembangan terkini keadaan mangsa-mangsa yang mengalami kemalangan tersebut.
Muhammad Miftahuddin sudah keluar daripada hospital pada petang Sabtu dan doktor menasihatkan supaya segera memaklumkan kepada pihak hospital jika terdapat rasa pening. Oleh kerana masih mengalami sengal sengal di beberapa kawasan badan, dan siri-siri pening selepas keluar dari hospital, saudara Miftahuddin bercadang untuk menemui semula doktor merujuk keadaannya itu. Pada masa yang sama, kerisauan keluarga saudara Miftahuddin atas keadaannya itu menasihatkannya untuk pulang ke Malaysia segera. Beliau akan pulang ke Malaysia pada hari Isnin ditemani sahabatnya dengan jaminan bantuan daripada MARA.

Wakil ISMA Mesir, ustaz Siddiq Mohd Amin dan ustaz Amirul Azmi menziarahi saudara Miftah di rumah sahabatnya
Keadaan Muhammad Syafiq pula masih agak kritikal dan masih berada dalam keadaan koma. Doktor sudah memberhentikan bantuan ubat pelali yang bertujuan menenangkan keadaan saudara Syafiq sebelum ini. Kedua ibu bapa saudara Syafiq setia menemaninya di Hospital Universiti Zaqaziq sebaik mereka tiba di Mesir pada 5 September yang lepas.
Wakil ISMA Mesir sempat berjumpa dan bersembang dengan ayah kepada saudara Syafiq di hospital, tetapi tidak dapat melihat saudara Syafiq dengan lebih dekat kerana hanya ibu dan ayahnya sahaja yang dibenarkan masuk ketika itu.
ISMA Mesir mengucapkan takziah atas ujian yang menimpa dan mendoakan agar mangsa dan ahli keluarganya mendapat ganjaran yang besar atas kesabaran dalam menghadapi ujian ini.