
KAHERAH, 11 OGOS : Umat yang maju dan mampu bangun adalah umat yang mengkaji sejarah kegemilangan bangsa mereka. Sehubungan itu, ISMA Mesir cawangan Madinah Nasr telah menganjurkan kelas sejarah yang bertajuk “Perkembangan Musuh Allah dan Sejarah Muslim Dalam Mendepani Mereka”. Kelas ini bertujuan untuk mengkaji kembali bagaimana kefasadan di muka bumi ini bermula dan bagaimana ia berkembang mengikut peredaran masa dan zaman. Kelas ini telah dihadiri oleh ahli-ahli ISMA Mesir cawangan Madinah Nasr.
Kelas sejarah ini dimulakan dengan ucapan pembuka oleh Ustaz Izzat Bin Husman. Antara isi penting yang ditekankan oleh penyampai Ustaz Zaid Bin Zainur Rashid ialah pentingnya pemantapan akidah supaya tidak terpesong dan terpedaya seperti kaum nabi Nuh. Ustaz Zaid juga menegaskan bahawa umat sekarang perlu menilai isu-isu semasa dan masalah umat melalui tasawwur Islam dan memahami konsep wala’ dan bara’ dengan jelas, supaya tidak terpedaya dengan perancangan musuh Islam seperti mana Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang berbaik dengan pihak perancis sehingga memakan diri. Kelas bermula pada jam 8.30 malam di Bait Teratak dan bersurai pada jam 10.30 malam.