
ABASIYYAH, 5 April : Mahasiswa Malaysia di Mesir diseru agar memperkuatkan sinergi dengan kedutaan Malaysia di Mesir. Nasihat itu disampaikan oleh Encik Adlan Mohd Syafiq, Ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia Kaherah ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ISMA Mesir kali kedua.
Tambah beliau, sinergi yang maksudkan di sini ialah apabila sesuatu badan mahasiswa berhasrat mengadakan sesuatu program, badan tersebut boleh menghantar kertas kerja kepada pihak kedutaan sebagai samada jemputan kehadiran, memohon dana mahupun tenaga pengajar. Dalam kesempatan yang ada, beliau sempat memuji beberapa langkah yang ISMA telah lakukan dalam menjalinkan hubungan dengan pihak kedutaan.
Selain itu, beliau juga menyatakan galakan kepada mahasiswa di Mesir untuk aktif berpersatuan agar bakat kepimpinan dapat diasah dari semasa ke semasa. “Apabila kita berpersatuan, kita akan belajar bagaimana untuk bekerjasama secara efisyen untuk mencapai satu objektif yang sama,” ujar beliau.
Mengenai kemelut isu Mesir yang masih tidak stabil terutamanya dari segi keselamatan dan ekonomi, setiap mahasiswa disarankan agar segera melaporkan apa-apa masalah yang berkaitan kepada pihak kedutaan. “Saya ingin meminta anda semua menjadi mata dan telinga bagi pihak kedutaan memandang situasi keselamatan dan ekonomi yang agak kritikal”
Mesyuarat Agung Tahunan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir kali kedua ini dijalankan di Dewan Malaysia Abasiyah Kaherah dengan dihadiri seramai lebih kurang 200 orang perwakilan dan pemerhati.