
MANSURAH, 31 Mac : Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir Cawangan Mansurah telah berjaya mengadakan Kafilah Dakwah di sini pada 15 Mac yang lalu. Kafilah Dakwah yang bertemakan ‘Mengenali Stres dan Cara Mengurusnya’ disertai hampir 18 orang ahli ISMA Mesir cawangan Mansurah. Program ini bertujuan membuat kajian lapangan tentang masalah stres dalam kalngan mahasiswa dan menerangkan cara pengurusannya dengan berkesan.
Program ini mendapat sambutan yang positif daripada responden yang ditemui. Tidak kurang daripada 75 mahasiswa pengajian jurusan perubatan di Universiti Mansurah telah ditemui oleh semua peserta Kafilah Dakwah kali ini bagi mendapatkan respon berkaitan tema yang digariskan.
Seawal jam 5 petang, program dimulakan dengan ucapan dari saudara Ahmad Fuad Bin Jamil, penuntut di Kuliyyah Usuluddin Universiti Al-Azhar cawangan Mansurah, selaku ahli jawatankuasa pelaksana. Setelah itu, pelan strategi Kafilah Dakwah dibentangkan oleh saudara Muaz Bin Mustapa, mahasiswa tahun akhir jurusan perubatan di Universiti Mansurah merangkap Bendahari ISMA Mansurah. Walaupun semasa program berjalan bekalan elektrik terputus seketika, namun perjalanan tetap diteruskan bagi memastikan objektif program tercapai.
Tepat jam 10 malam, semua peserta telah berkumpul semula di Beyt Etihad, Samaoudy dan berkongsi pengalaman masing-masing sepanjang Kafilah Dakwah dijalankan. Program diakhiri dengan Ucapan penutup oleh saudara Amar Ismat, penuntut di Kuliyyah Usuluddin Universiti Al-Azhar Kaherah selaku ketua Unit Dakwah ISMA Mesir cawangan mansurah dan sedikit jamuan ringan. ISMA Mesir berharap agar program interaktif mahasiswa sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memastikan penyebaran risalah Islam dan ajarannya ke setiap penjuru masyarakat.