
MADINAH NASR, 29 Mac : ISMA Mesir mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ustaz Hanifulfuad Bin Hussin, penuntut tahun empat di Kuliyyah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar atas pelantikan beliau sebagai presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sesi 2014 pada 20 Mac yang lepas.
Perlantikan tersebut adalah rentetan kemenangan beliau dalam Pilihanraya Presiden PMRAM sesi 2014 melawan saingnya Ustaz Ahmad Bin Ja’afar penuntut tahun tiga Kuliyyah Syariah Islamiyah Universiti Al-Azhar dengan majoriti sebanyak 240 undi. Keputusan undian tersebut telah diumumkan oleh Ustaz Subki Bin Zakaria, Pengarah Sururhanjaya Pilihanraya (SPR) PMRAM 2013 sejurus tamat proses membuang undi yang bertempat di Surau Asrama Rumah Terengganu, Kompleks Rumah Negeri Hayyu Asyir yang telah berlangsung pada 19 dan 20 Mac yang lalu.
Dalam pada itu, ISMA Mesir mengajak dan menyeru kepada Ustaz Hanifulfuad selaku Presiden PMRAM yang baru khususnya dan seluruh keluarga PMRAM secara amnya untuk menyahut keempat-empat seruan ISMA Mesir terutamanya keterbukaan dan sepakat. ISMA Mesir juga menyeru kepada semua warga mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir supaya memecahkan blok jurang perbezaan sesama sediri dan sepakat dalam isu pembangunan masyarakat dan hal ehwal aqidah umat Islam terutama di tanah air.