
Kaherah, 9 Disember- ISMA Mesir berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada saudara Fakhrullah Bin Rasul, Tahun 1 Ulum Islamiah dan telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Soleh Bin Ismail selaku Ketua Cawangan ISMA Madinah Nasr semalam.
Saudara Fakhrullah telah mengalami kecederaan di bahagian kaki beliau semasa dalam cubaan menyelamatkan barang beliau dari dilarikan oleh pemandu teksi yang dinaikinya. Sahabat mangsa, saudara Azhari telah menceritakan serba sedikit tentang tragedi yang menimpa saudara Fakhrullah.
Menaiki teksi secara bersendirian dikhuatiri boleh mengundang bahaya jika barang yang dibawa bersama terlalu banyak. Mahasiswa dinasihatkan supaya berhati-hati dengan pemandu teksi yang cuba menggunakan jalan yang diluar kebiasaan.
ISMA-Mesir mengingatkan kepada seluruh mahasiswa di Bumi Anbiya’ supaya mengambil langkah keselamatan yang sebaiknya terutama dalam keadaan Mesir yang masih tidak menentu. Dan pihak ISMA-Mesir mendoakan supaya saudara Fakhrullah cepat pulih daripada kecederaan dan diberikan kekuatan untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang.