
Bangi, 31 Oktober – ISMA Mesir bertekad untuk terus memacu arus mahasiswa di bumi Mesir meskipun dengan pelbagai krisis dan konflik yang terjadi di sana. Pertemuan Jawatan Kuasa Pusat ISMA Mesir yang diadakan di pejabat ISMA Bangi baru-baru ini telah membincangkan beberapa perancangan strategik melibatkan aktivisme dan pergerakan ISMA Mesir yang bersesuaian dengan situasi dan keadaan semasa yang berlaku.
“Pertemuan ini merupakan siri-siri perbincangan pihak JKP sejak berlaku krisis di Mesir, untuk membincangkan hal berkaitan masa depan ISMA Mesir. Ini sebagai satu tanda komitmen kami untuk menyatakan ISMA Mesir kini sedang melangkah ke depan,” ulas Ustaz Ahmad Farhan Selamat, Setiausaha ISMA Mesir.
Sejak krisis yang bergolak di Mesir pada 30 jun lepas, nasib dan masa depan para pelajar Malaysia menjadi persoalan ramai pihak. Dalam hal itu, ISMA Mesir mengambil sikap yang sama dengan pendirian pihak kedutaan Malaysia di Mesir, untuk melihat situasi tersebut dengan penuh ketelitian dan berhati-hati.