
Wartawan : Nurul Aini Mohd Yakub
Jumaat, 19 Julai – ISMA-Mesir cawangan Iskandariah telah mewakilkan beberapa mahasiswi untuk membantu menjayakan projek pengagihan syantoh (beg) ramadhan gabungan bersama Yalla Foundation. Sasaran pengagihan syantoh ramadhan pada kali ini adalah di dua buah kawasan iaitu Rubu’ Miyyah dan Kafr Dawar. Program tersebut bermula dari jam 11 pagi dan berakhir pada jam 10 malam yang diakhiri dengan solat terawih di kampung tersebut.
Projek tersebut dijalankan kerana ingin membantu mengurangkan bebanan bagi mereka yang kurang kemampuan dan menggalakkan dalam melakukan amalan sedekah bagi mereka yang mampu. Apatah lagi sempena kita di bulan ramadhan yang dilipat gandakan pahala apabila kita bersedekah.
Jumlah bilangan syantoh dianggar seratus di setiap kampung untuk diagih kepada setiap keluarga yang fakir. Antara senarai barang yang telah diberikan ialah,1 kg beras, 2 bungkus makarona,1 liter minyak masak, serta barang-barang asas yang lain. Pengagihan dilakukan kepada senarai nama atas bantuan wakil dari penduduk tersebut.
Banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat diambil oleh mahasiswi ISMA-Mesir Iskandariah. Antaranya manifestasi syukur dengan nikmat yang kita ada serta belas kasihan terhadap golongan yang kurang berkemampuan. Jutaan terima kasih kepada Yalla Foundation kerana sudi memberi peluang untuk sama-sama menjayakan program ini dan diharap program seperti ini mampu diteruskan apatah lagi memberi manfaat yang banyak kepada pemberi dan penerima.
Marilah sama-sama kita meningkatkan amal selari dengan fasa pengampunan di bulan Ramadhan ini.
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” ( Al-Baqarah : 261 )