Blog Isma Mesir

Malam Ukhuwwah menyeru pembinaan biah solehah di Mansurah

December 4, 2013

16 April, Mansurah:  Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Mansurah telah berjaya mengadakan Malam Ukhhuwah iaitu majlis makan malam antara beberapa persatuan-persatuan pelajar yang wujud di Mansurah di sini semalam. Dengan matlamat mengeratkan ikatan silaturrahim antara persatuan-persatuan yang lain serta bersama membentuk satu biah solehah di Mansurah.

Majlis yang julung-julung kali yang dicetuskan oleh ISMA Mansurah itu telah diadakan di bangunan Yayasan Terengganu telah dihadiri oleh beberapa persatuan seperti PERMATA, MMMC, Kelab UMNO luar negara, kelab Pro Khalifah serta Kelab Dentist. Beberapa persatuan seperti IKRAM, PCM dan PMRAM tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana mempunyai program yang tersendiri.

Program itu bermula pada pukul 8.30 malam dimulakan dengan ucapan wakil daripada JKP ISMA Mesir, Ustaz Bilal Jailani.

Presiden PERMATA, saudara Hayat dalam ucapannya memandang kesepakatan antara persatuan dalam menggembeling usaha sama membangkitkan biah solehah dapat diadakan sekiranya diadakan sebuah program yang bersifat inclusive dan bukan exclusive. Satu kekurangan masyarakat di Mansurah adalah sikap liat antara persatuan untuk melakukan bentuk kerjasama secara terbuka.

Wakil dari kelab MMMC Che Sarida pula berkata sikap tegur menegur adalah sebuah sifat yang mesti ada dalam diri mahasiswa, khususnya di Mansurah dengan cara yang berhemah serta tidak mudah berburuk sangka. Bermula dari diri sendiri, dikembangkan kepada ahli keluarga atau dalam konteks bermasyarakat, ahli rumah, dan akhirnya kepada masyarakat.

“Orang yang mukmin sesama mukmin diibaratkan seperti bangunan batu yang tersusun daripada ikatan batu bata yang kuat, saling menguatkan antara satu dengan yang lain”, hadis yang dipetik oleh Presiden Kelab UMNO luar negara, saudara Ahmad Afandi  sebagai bagi memulakan ucapannya. Saudara Ahmad menyimpulkan bahawa perlu ada tiga langkah bagi mewujudkan biah solehah di Mansurah; kesedaran dalam diri sendiri, ukhuwwah serta pengehadan pergaulan yang tidak perlu antara lelaki dan perempuan.

Majlis makan malam ini diakhiri dengan ucapan daripada Ketua ISMA cawangan Mansurah Ustaz Shairawi yang mengatakan antara sebab mengapa tercabutnya sifat malu antara lelaki dan perempuan di  Mansurah adalah kerana terlalu banyak dan kerap program yang diadakan melibatkan lelaki dan perempuan.  Mengakhiri ucapannya, Ustaz Shairawi menyimpulkan bahawa dunia adalah ladang kepada akhirat serta Islam perlu dimenangkan oleh penganutnya.

Harapan ISMA Mansurah selepas ini, dengan program serupa ini akan berlaku suatu anjakan paradigma yang mencabut dogma yang selama ini membelenggu masyarakat Mansurah bahawa keterikatan mereka pada sesebuah persatuan menghalang mereka dari bersatu padu dalam bersama mengimarahkan sifat masyarakat yang soleh dan solehah di mansurah.

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini