Tersirat di balik Tuhfatul Murid

 Tersirat di balik Tuhfatul Murid

Abdur Rahman Bin Ahmad Raji, Setiausaha Agung Isma Mesir 2016

Saya masih ingat lagi ketika beberapa bulan yang lepas, seusai mengajar ilmu Tauhid sekadar yang saya pelajari kepada beberapa penuntut universiti Al – Azhar, diri saya terasa amat penat. Mungkin kerana saya tidak cukup tidur, atau ilmu Tauhid yang saya ajar sebentar tadi ternyata sedikit membebankan. Berkerut dahi juga saya cuba memahami baris-baris perbahasan buku kuliah Tauhid tersebut, yang mensyarahkan sebuah karya klasik terkenal Tuhfatul Murid ala Jauharah Tauhid (Bingkisan Buat Pencinta Tauhid) oleh Imam Al-Bajuri sekitar kurun ke-18. Sekalipun ia telah disusun dengan tatatulis yang moden, ia tetap bukan sebuah buku yang mudah-mudah difahami oleh kebanyakan orang.

 

Teringat pada kata – kata guru saya; “Ilmu Tauhid yang diajar di Al-Azhar sebenarnya lebih mirip kepada Ilmu Kalam”. Benar. Konsep ilmu Tauhid yang ditekankan lebih bersifat mantiqi (ilmu logik) dan falsafah, sungguhpun intipati dan paksinya benar-benar mengajak kita lebih mengenali Allah s.w.t dengan segala kesempurnaan-Nya. Sifat-sifat Allah s.w.t yang Maha Sempurna dibahaskan dengan teori-teori logik akal. Menariknya disini, setiap perbincangan mengenai suatu sifat Allah s.w.t, seperti Wujud, Qidam, Baqa’, dan sebagainya ia akan dihujahkan dari dua sisi, Hujah Aqli (pemahaman akal) dan Hujah Naqli (Al-Quran dan Hadith). Hujah Aqli akan dihuraikan dengan lebih panjang, tidak seperti Hujah Naqli yang ringkas, cukup dengan hanya dinyatakan beberapa ayat Al-Quran.

 

Saya tersenyum sendirian, meraikan secebis kesimpulan yang bermain-main di kepala.

 

Akal sememangnya diciptakan berfikir. Tetapi berfikir seringkali membawa kita ke lembah persimpangan. Persimpangan pandangan. Persimpangan dimensi. Persimpangan persoalan yang disertai dengan pelbagai jawapan.

 

Kepelbagaian persimpangan ini menjadikan amalan berfikir adalah sesuatu yang kompleks. Tidak ramai manusia yang minat berfikir kerana kompleksitinya. Matematik, fizik, sains, logik, mantik, falsafah, cukup terkenal dengan esklusivitinya. Sejak falsafah dan mantiq mula menyelinap dalam peradaban umat, muncul beberapa aliran pandangan yang membicarakan agama dari rasional akal, sekaligus menjadikan Tauhid turut dibahaskan secara Hujah Aqli. Lalu, timbul beberapa syubhat akal terhadap kebenaran-kebenaran tauhid yang dinyatakan Al-Quran. Para ulama salaf telah pun menjalankan peranannya untuk mencantas syubhat-syubhat akal yang cuba menafikan kewujudan Allah s.w.t, atau menodai kesucian sifat-sifat agung-Nya, dan sebagainya, menggunakan hujah akal itu sendiri. Maka terjadilah perdebatan yang panjang dan penghujahan yang berjela, walaupun hakikatnya, aliran syubhat tersebut tidak mampu menemukan kebenaran melalui hujah akal, melainkan ia pasti bertepatan dengan apa yang terkandung di dalam Hujah Naqli.

 

Apa yang saya hendak utarakan disini adalah, pegangan kita pada dalil Al-Quran dan Hadith adalah ‘short-cut’ dalam memahami kebenaran. Kita tidak perlukan kepada premis-premis yang berjela-jela dan tidak selamat, untuk membuktikan kewujudan Allah s.w.t misalnya. Kita hanya perlukan kepada sebuah kepercayaan; apa sahaja datang dari Al-Quran adalah kebenaran. Kita perlu kasihan kepada pemikir barat atau pendokongnya yang ‘tenggelam dalam dunia falsafah’, mencari-cari sebab dan rasional untuk meneliti sesuatu itu benar atau salah.

 

Bukanlah bermakna kita tidak menggunakan akal yang telah diciptakan, tetapi kita menggunakan akal pada ruang lingkup tugas kita sebagai khalifah, bukan ruang lingkup sebagai Tuhan. Fikir bagaimana cara tegakkan syariat di muka bumi, bukan fikir adakah syariat ini sesuai atau tidak ditegakkan. Fikir bagaimana aplikasi memakmurkan ekonomi mengikut sistem Islam, bukan fikir apakah sistem ekonomi paling relevan untuk diguna pakai.

 

Semua inilah yang bermain-main dalam benak fikiran saya ketika menelaah apa yang tersirat di balik Tuhfatul Murid ini.

 

Ustaz Abdur Rahman Bin Ahmad Raji

B.A Usuluddin (Tafsir) Universiti Al-Azhar As-Syarif, Kaherah.

Ketua Biro Penerangan ISMA Mesir

 

Comments

comments

admin