Petisyen White House: Sudah terang lagi bersuluh

 Petisyen White House: Sudah terang lagi bersuluh

white-house-petition-dsai

Umum tahu bahawa tangkapan Anwar Ibrahim bakal mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap kerajaan, tambahan lagi Pakatan Rakyat mendakwa memenangi undi popular pada Pilihan Raya Umum yang lepas.

Kecaman dari luar juga dapat diduga, kerana Anwar akrab dengan pemimpin-pemimpin negara luar dari pelbagai latar belakang. Anwar disebut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam bukunya bahawa Anwar berbakat membuat jaringan kawan bersama pemimpin-pemimpin Islam dunia dan pada masa yang sama Anwar bersahabat baik dengan tokoh-tokoh Amerika dan Yahudi.

Tetapi apabila sokongan daripada Barat sehingga ke tahap White House sendiri, tidak sampai satu hari, telah menggerakkan petisyen untuk membantah tangkapan Anwar dan menyelarnya sebagai penangkapan berbentuk politik dan mematikan demokrasi di Malaysia, ini satu perkara yang luar biasa.

White House secara jelas menyebut Anwar sebagai ‘sahabat lama kepada United States’ dan ‘kekecewaan yang dalam’ terhadap sabitan mahkamah terhadap Anwar. White House bukan sahaja melampaui batas kedaulatan negara Malaysia bahkan mempersoal satu institusi teras dalam pembentukan sesebuah negara, iaitu institusi kehakiman.

Kita tidak dengar White House membuat petisyen untuk kaum Cina Islam yang ditindas dan dibunuh di Uighur, China. Kita tak dengar juga bila ratusan etnik Rohingya dibakar hidup-hidup dan sebahagian mereka lari menggunakan sampan meredah laut, apabila sampai ke pantai negara jiran mereka tidak dibenarkan ke darat dan dibiarkan karam di tengah laut. Kita juga tak dengar apabila muslim Afrika disembelih beramai-ramai di Republik Afrika Tengah. Semua ini bukan peristiwa lama, tetapi bila seorang individu bernama Anwar dimasukkan ke penjara, White House secara sukarela membuat dan menyebarkan petisyen.

Timbul persoalan siapa Anwar sebenarnya?

Oleh sebab hubungan Anwar dengan Barat telah pun disedari dan mendapat perhatian rakyat Malaysia akhir-akhir ini maka persoalan yang lebih tepat ialah apa untung Amerika membantu Anwar ini. Adakah ada tawaran dan persetujuan di antara mereka ketika Anwar dijemput ke Amerika beberapa bulan yang lepas?

Mereka yang membaca sejarah akan sedar bahawa Barat dan penjajah tidak akan membantu tanpa ada timbal balik yang menguntungkan mereka. Bagaimana dalam sejarah satu persatu Tanah Melayu jatuh ke tangan British menggunakan muslihat perjanjian, antaranya Perjanjian Pangkor 1874 yang berakhir dengan campur tangan British dalam urusan dalaman negeri Perak, dan Perjanjian Bangkok 1909 yang berakhir dengan pemecahan Tanah Melayu dan Tanah milik orang Islam di selatan Thailand.

Sebagaimana juga Sir Stamford Raffles berjaya menguasai tanah Temasik daripada Kesultanan Johor bermula tahun 1819. Sir Stamford menyokong dan menjanjikan kuasa pada Tengku Hussain sebagai ‘Sultan’ Temasik selepas Tengku Hussain hilang kelayakan menggantikan ayahnya kerana dia tidak berada di samping ayahnya ketika kemangkatan ayahnya, lalu adik Tengku Hussain iaitu Tengku Abdul Rahman diangkat menjadi Sultan Johor. Tengku Hussain berhasil menjadi ‘Sultan’ bagi daerah Temasik dan bermulalah episod peranan kuasa Sultan di Temasik diketepikan dan akhirnya British dapat kuasa di Temasik sebagai kawasan pelabuhan yang strategik.

British menggunakan cita-cita seseorang untuk memiliki kuasa bagi matlamat mereka yang lebih besar, dan lebih kekal lama. Hasilnya tanah Islam Temasik dijajah sehingga sekarang.

Adakah muslihat yang sama digunakan terhadap Anwar?

Khusus buat rakyat Malaysia, wajah kotor dan niat buruk Amerika satu perkara yang tak perlu dibahaskan lagi di kalangan masyarakat kita. Dan kini Amerika berada di samping Anwar. Adakah sebenarnya Amerika jujur untuk membebaskan Anwar supaya Anwar membawa kebaikan kepada agama Islam dan kemajuan negara?

Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“Dan Yahudi juga Nasrani tidak sekali-kali akan redha (suka) terhadap kamu sehingga kamu mengikut agama mereka.” (Al-Baqarah ayat 120)

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengambil Yahudi dan Nasrani sebagai teman kepada sesetengah yang lain, dan siapa yang menjadikan mereka sebagai teman maka mereka dari kalangan mereka (Yahudi dan Nasrani), dan sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.” (Al-Maidah ayat 51)

Kemasukan Anwar ke penjara akan menimbulkan dan menjernihkan siapa kawan dan siapa lawan beliau.

Timbullah Amerika yang kita sangka mereka kecewa akibat kekalahan Anwar pada PRU yang lepas lalu Obama enggan berjumpa beliau ketika lawatan Obama ke Malaysia tahun lalu. Tetapi tidak, bukan sahaja media Barat sibuk menghentam penghakiman ke atas Anwar malah merangka dan menyediakan petisyen di bawah logo The White House Washington. Tidakkah terang lagi bersuluh?

Adakah anda akan menandatangani petisyen tersebut? Bersedialah untuk petisyen itu hadir di akhirat beserta lelehan dan titisan darah ratusan ribu muslim Iraq dan Afghanistan yang dibunuh oleh Washington, dan menjawabnya di hadapan Allah SWT.

Oleh: Hasan Abdul Halim, Kuliah Syariah, Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

admin