Comango Alat Agenda Liberal Global

 Comango Alat Agenda Liberal Global

IMG_3746

MADINAH NASR, 26 Februari : “Ahli-ahli Comango merupakan penganut fahaman liberalisma yang menuntut hak mutlak individu dan ini jelas bercanggah dengan skop syara’ Islamiyyah”, kata Ustazah Fadhlin Sakinah Binti Husaini penuntut tahun ketiga di Fakulti Ulum Islamiah Universiti Al-Azhar Kaherah merangkap Timbalan Ketua Wanita ISMA Mesir pada Forum Comango dan Masa Depan Malaysia pada 19 Februari yang lalu yang dibanjiri sekurang-kurangmya 250 orang mahasiswa pelbagai latar belakang.

Menurut Ustazah Fadhlin, Comango telah dibiayai oleh National Endorsement for Democracy, LED dan Konrad Foundation yang membiayai segala agenda menjatuhkan pemimpin negara untuk melaksanakan demokrasi dan fahaman liberalisma. LED dan Konrad juga antara yang terlibat dalam membiayai NGO-NGO di Mesir sewaktu Revolusi 25 Januari pada tahun 2011.

Dalam pada itu, terdapat tiga aliran kefahaman utama yang didokong NGO-NGO di dalam Comango. Pertamanya ialah ideologi feminisma seperti yang diperjuangkan oleh Sisters in Islam, SiS dan TENAGANITA antara yang memperjuangkan hak wanita untuk bekerja walaupun dalam sektor pelacuran. Keduanya adalah ideologi menghalalkan LGBT di Malaysia dan yang ketiga adalah agenda kristianisasi dan kesemua ideologi ini merupakan elemen-elemen dalam fahaman liberalisma, jelas Ustazah Fadhlin.

Walaupun kebanyakan tuntutan Comango berpotensi membawa kestabilan dalam aspek sosial dan hanya enam daripada tuntutan-tuntutan tersebut membawa kepada kekacauan kedaulatan Islam di Malaysia, namun begitu ISMA tetap menolak Comango secara keseluruhannya. Menurut Ustazah Fadhlin juga, kesemua tuntutan Comango jika dilaksanakan akan menuju ke arah menghilangkan identiti umat Islam dan ketuanan umat Islam ke atas Malaysia.

Selain itu, dakwaan Comango bahawa mereka memperjuangkan suara majoriti rakyat Malaysia juga diragui kerana di dalamnya tidak terdapat NGO-NGO berteraskan fahaman Islam yang sahih untuk menjadi wakil kepada suara majoriti rakyat Malaysia yang merupakan orang Islam berbangsa Melayu malah hanya mewakilkan suara minoriti rakyat yang didakwa tertindas dengan ketempangan dalam melaksanakan hak asasi manusia di Malaysia.

Comments

comments

admin