
KAHERAH, 15 Januari – Selepas menamatkan pengajian selama empat tahun di Universiti Al-Azhar, Ustaz Ammar Zikri bin Shaharuzaman kini melangkah pulang ke tanah air bagi meneruskan perjuangan dan khidmat bakti kepada ummah serta masyarakat.
Beliau baru sahaja bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah pada Majlis Kovokesyen Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar, anjuran Kedutaan Besar Malaysia Kaherah kali ke-19, pada November lalu. Sepanjang tempoh pengajian, beliau banyak menyumbang dalam aktiviti dakwah sebagai seorang mahasiswa unggul.
Selain cemerlang dalam bidang akademik, beliau turut aktif menyumbang dalam gerak kerja media ISMA Mesir, khususnya dalam bahagian video dan fotografi.
Beliau juga aktif menggerakkan komuniti sukan futsal dan bola sepak melalui penglibatan sebagai penggerak Saff Etihad. Beliau membantu menjadikan sukan sebagai wasilah membentuk disiplin, kesihatan jasmani dan ukhuwah sesama mahasiswa, selari dengan tuntutan pembangunan ummah yang seimbang.
Seluruh warga Isma Mesir merakamkan setinggi penghargaan buat Ustaz Ammar Zikri bin Shaharuzaman atas segala jasa dan pengorbanan dalam menggerakkan agenda dakwah di bumi Mesir. Semoga kepulangan beliau membawa seribu satu pengalaman dan harapan untuk membawa risalah seorang graduan Al-Azhar di Malaysia kelak.