Blog Isma Mesir

Penuntut Ilmu : Mujahidin & Muhajirin

January 6, 2026

Apa itu hijrah?

Peristiwa penting dalam sirah Nabi, merupakan perpindahan umat Islam secara besar-besaran dari Mekah menuju ke Madinah. Berlaku pada tahun ke-13 kenabian. Melalui hadis ini, sabda Nabi SAW pada hari Fathul Makkah:

لاَ هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ، وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

Ertinya:
“Tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah, melainkan jihad dan niat. Jika kamu dipanggil berperang maka majulah.”

Apa itu jihad?

Satu nilai perjuangan yang menjadikan seseorang Muslim itu berakhir dengan sama ada hidup mulia atau mati syahid. Dua-duanya adalah ganjaran besar buat mereka yang berjihad. Nabi SAW bersabda:

جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُمْ

Ertinya:
“Perangilah golongan musyrikin dengan harta-harta kamu, diri kamu dan lidah kamu.”

Kewajiban menuntut ilmu dalam Surah at-Taubah

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
(at-Taubah: 122)

Ertinya:
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Ayat 122 ini terletak di dalam Surah at-Taubah selepas Surah al-Anfal yang mana kedua-dua surah secara keseluruhannya menceritakan tentang peperangan secara umum, khususnya Perang Badar dan Uhud. Topik utama Surah at-Taubah ialah pembatalan perjanjian dengan orang musyrikin yang mereka langgar serta seruan kepada jihad menentang golongan yang menolak agama tauhid.

Pembukaan Surah al-Anfal pula jelas menerangkan tuntutan untuk membina asas kepada jihad fi sabilillah:

وَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
(al-Anfal: 1)

Ertinya:
“Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.”

Dan ayat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

Ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama orang-orang yang benar.”

Makna yang menghidupkan semangat

Ayat 122 menggunakan uslub nafi yang membawa maksud larangan, dan dengan huruf “ل” selepas “ما” menunjukkan penafian yang kuat. Ini menjelaskan bahawa jika semua Muslim keluar berperang, ia akan memudaratkan umat.

Imam at-Tahir Ibn ‘Asyur menjelaskan bahawa penggunaan sighah لام الجحود merupakan penegasan kepada larangan tersebut. Maka, keluar berjihad wajib ke atas sebahagian yang mencukupi, dan pada masa yang sama wajib juga sebahagian yang tinggal untuk memelihara kepentingan umat melalui ilmu.

Kalimah “نفر” untuk penuntut ilmu

Allah SWT menggunakan kalimah نفر berbanding خرج atau ذهب, kerana kalimah ini sering digunakan untuk jihad dan haji. Ini menunjukkan bahawa perjalanan menuntut ilmu membawa makna jihad dan hijrah.

Penuntut ilmu keluar berkelana seperti seorang mujahid meninggalkan keluarga dan negara, serta seperti orang yang mengerjakan haji, menuju kepada Allah SWT.

Tanggungjawab bagi penuntut ilmu

لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ

Ertinya:
Supaya mereka mendalami ilmu agama dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila kembali.

Dua tanggungjawab utama penuntut ilmu:

  1. Memahami agama secara mendalam (فقه) – menurut Ibn ‘Asyur, faqih ialah orang yang memahami hingga sebati dalam perbuatan dan perkataan.

  2. Memberi peringatan dan dakwah kepada masyarakat.

Seorang penuntut ilmu belum menunaikan fardu ain ke atas dirinya jika tidak berusaha menjadi ‘alim dan da’i.

Seorang Azhari

Sebagai pelajar Al-Azhar, tujuan utama adalah menjadi seorang ‘alim dan da’i. Ini tidak cukup dengan silibus akademik semata-mata, tetapi memerlukan:

  • Suhbah dengan masyayikh

  • Talaqqi

  • Praktikal dakwah dan turun ke lapangan

Makalah ini ditulis sempena kehadiran pelajar baru dan konvokesyen pelajar Malaysia Universiti Al-Azhar agar menjadi pembakar semangat dalam perjuangan ilmu.

Wallahua‘lam.

Makalah ini merupakan istifadah daripada penulisan al-marhum
Dr. Mahmud Taufiq Sa‘ad
al-Hijrah fi Tolabil ‘Ilmi

Ahmad Muinuddin
Kaherah
11/12/25

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini