
KAHERAH, 25 November 2025 – Ustaz Hikmat bin Mohd Esa beserta isterinya, Ustazah Nur Ashikin binti Muhamad Mathurudi telah menyempurnakan hampir 11 tahun pengembaraan ilmu di Mesir, kini pulang ke Malaysia bagi memasuki episod baharu dalam kerjaya dan lapangan dakwah.
Ustaz Hikmat merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan penerima Anugerah Tokoh Imam As-Syafie oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah Mesir (KBMK) pada tahun 2018. Beliau turut menamatkan Ijazah Sarjana (Master) Usul Fiqh dengan pangkat Mumtaz di Kuliah Ulum Islamiah Universiti Al-Azhar pada tahun 2024.
Sepanjang berada di Mesir, beliau memainkan peranan signifikan dalam komuniti mahasiswa melalui jawatan Setiausaha Agung ISMA Mesir serta Pengerusi Majlis Ulama ISMA Mesir, selain terlibat aktif dalam pelbagai program tarbiyah, keilmuan, dan pembangunan mahasiswa.
Isterinya, Ustazah Nur Ashikin binti Muhamad Mathurudi, turut menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah di Universiti Al-Azhar serta berjaya menyelesaikan Ijazah Sarjana (Master) Syariah dan Undang-Undang dari Universiti Malaya.
Ustaz Hikmat dan keluarga berangkat pulang pada Selasa, 25 November 2025 yang lalu untuk memulakan fasa baharu dalam kerjaya dan kehidupan. Dalam pesanan perpisahannya, Ustaz Hikmat menekankan bahawa kesinambungan dakwah tidak terletak pada individu semata-mata, sebaliknya pada roh perjuangan yang terus dipelihara. “Risalah ini tidak akan berhenti dengan baliknya seorang dua, tetapi ia akan berterusan jika dipelihara roh-rohnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap medan adalah peluang yang Allah hadiahkan.
“Tidak ada medan yang sebenar dan tidak ada medan yang tidak sebenar, semua medan adalah sebenar.” Tambahnya lagi: “Jangan bandingkan kita dengan orang lain, fokus dengan pembinaan diri. Kita ikut tarbiah bukan untuk menjadi seperti si fulan, tetapi untuk menjadi apa yang Allah kehendaki.”
Justeru, dengan pengalaman yang luas dalam tarbiyah dan ilmu, ISMA Mesir berharap agar kepulangan Ustaz Hikmat sekeluarga menjadi pembuka jalan kepada peranan lebih besar dalam membangunkan masyarakat dan membina Ummah Fadhilah di tanah air. ISMA Mesir turut menzahirkan penghargaan atas segala sumbangan sepanjang berada di Mesir.
#IsmaMesir
#bfg