
KAHERAH, 20 November – ISMA Mesir telah menganjurkan Bengkel i-Media: Kewartawanan & Penulisan di Pejabat ISMA Mesir pada minggu lalu, menghimpunkan beberapa ahli dari pelbagai bidang bagi meningkatkan kemahiran asas penulisan dan keupayaan menyampaikan mesej dakwah secara lebih berkesan.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang itu dikendalikan oleh Ustaz Irfan Mohiddin, seorang yang berpengalaman dalam bidang penulisan dan kewartawanan. Menurut beliau, inisiatif ini sangat signifikan dalam memberikan nilai tambah kepada kemahiran profesional, khususnya melibatkan penulisan berita, artikel serta pemahaman asas kerja kewartawanan.
Sepanjang program, peserta bukan sahaja mengikuti sesi teori, malah turut terlibat dalam latihan praktikal pada sesi sebelah petang bagi mengukuhkan kefahaman berasaskan pengalaman sebenar. Setiap peserta turut menerima modul rujukan yang disediakan khusus untuk membantu mereka meneruskan latihan penulisan selepas bengkel.
Dalam ucapan alu-aluan, wakil JKC ISMA Mesir menyatakan bahawa kemahiran penulisan dalam kalangan mahasiswa masih perlu diperkukuh. “Satu kelopongan yang sangat ketara bagi mahasiswa di Mesir ini khususnya adalah menguasai kemahiran penulisan dan kewartawanan. Maka inilah peluang yang sangat mahal untuk dimanfaatkan dalam lapangan media dan dakwah yang kelak menjadi bekalan amal kita, insyaAllah,” jelasnya.
ISMA Mesir berharap penganjuran bengkel ini menjadi pemangkin kepada penghasilan penulisan yang lebih berkualiti dalam kalangan ahli, serta menyumbang kepada pengukuhan peranan media sebagai wasilah dakwah dan pembangunan masyarakat.