
🇲🇾✨ Sajak Kemerdekaan ✨🇲🇾
✍️ Oleh: Ustaz Ahmad Munir Bin Muhammad Luttfi
— — —
Suara Merdeka
Sekian lama kita merdeka,
Mengapa bangsa ini,
Mengenali huruf tetapi lupa maknanya,
Bijak mengira angka tetapi kurang nilainya,
Menghayati alunan bunyi tetapi diam bersahaja,
Mengetahui akhir tetapi pudar diawalnya.
Sekian lama kita merdeka,
Mengapa bangsa ini,
Cerah pandangan mata tetapi gelap isi hatinya,
Cerdik pada minda tetapi buruk peribadinya,
Lembut bahasa tetapi keras perbuatannya,
Merdu alunan suara tetapi sumbang pada bicara.
Sekian lama kita merdeka,
Mengapa bangsa ini,
Mengimpikan kemajuan tetapi menolak teknologi,
Mengimpikan kemakmuran tetapi membelakangi ekonomi,
Mengimpikan kesejahteraan tetapi mencetus pergolakan,
Mengimpikan kedamaian namun bisu bila diminta pertolongan,
Di celah impian itu juga,
Merdeka kita hanyalah di bibir,
Belum terpahat di dada anak bangsa.
Duhai anak bangsa yang merdeka,
Merdeka kita bukan sebarang bebas,
Bebas daripada kebodohan,
Bukan membuta tuli tanpa arah,
Bebas daripada kezaliman,
Bukan gugur dibelenggu penjajah,
Bebas daripada hawa,
Kembali pada sinaran iman,
Dari tunduk mengikuti syaitan,
Kepada tunduk hanya pada Allah.
Sejarah dunia mengajar manusia,
Tanpa pena,
Mata pedang tidak bermakna,
Tanpa ilmu,
Rantaian perjuangan tiada halatuju,
Kerana ilmu mengangkat maruah,
Dengan ilmu membina ummah,
Sekaligus meruntuh tirai jahiliah,
Menyedarkan manusia dari gelap gelita.
Duhai anak watan,
Empat musim silih berganti,
Di manakah sikap seorang insani,
Anak kecil menggigil kesejukan,
Sang ayah menahan kelaparan,
Pemuda bangsa terbang keawangan,
Gugur syahid di bumi perjuangan,
Tangislah si ibu meratapi kehilangan,
Segala yang berlaku bukanlah bayangan,
Tetapi darah,
Yang menyapu tanah perjuangan.
Ini adalah realiti,
Bukan gambaran ataupun ilusi,
Bukanlah dongeng mahupun mimpi,
Tetapi nadi bumi yang berdarah sepi,
Janganlah merdeka sebagai tatapan mata,
Tetapi,
Merdekalah juga pada minda dan hati.
Wajarkah kita berdiam diri,
Dari melihat kezaliman duniawi,
Di mana ilmu yang mesti dikongsi,
Di mana pemuda yang gagah berdiri.
Maka,
Pahatkan jiwa dengan ilmu yang hakiki,
Agar merdeka bukan sekadar warisan,
Mara ke hadapan dengan satu lontaran,
Lontaran tajam juga berbisa,
Dentuman suara yang menggegar jiwa,
Itulah ia,
Laungan merdeka.
.
.
#Merdeka2025
#IsmaMesir
#JiwaKuatPimpinMasyarakat