Pasukan Kerja Dalam Dakwah

 Pasukan Kerja Dalam Dakwah
  1. Antara cabaran dalam menguruskan apa-apa projek dakwah adalah membina pasukan kerja yang ‘betul’. Saya gunakan istilah ‘betul’ kerana saya rasa itu lebih mudah difahami dalam menggambarkan kemampuan pasukan kerja tersebut menjayakan projek dakwah tersebut. Orang lain mungkin suka guna perkataan ‘kompeten’, ‘efisen’ dan sebagainya.
  2. ‘Betul’ bermaksud setiap individu di dalam pasukan kerja tersebut betul-betul faham visi, misi, objektif, kpi dan proses yang berkaitan dengan projek. Kita boleh bayangkan bagaimana projek itu akan berjalan jika anggotanya tidak tahu objektif yang mahu dicapai.
  3. ‘Betul’ juga bermaksud setiap individu di dalam pasukan kerja tersebut betul-betul memiliki kemahiran yang diperlukan untuk projek dakwah tersebut. Jika projek yang melibatkan penghasilan kajian, kemahiran mengkaji menjadi keperluan. Jika projek melibatkan kempen kesedaran masyarakat, kemampuan mempengaruhi menjadi keperluan. Dan antara kemahiran yang mesti ada semestinya pada seorang ketua adalah kemahiran menguruskan manusia yang pelbagai ragam dan karektor.
  4. ‘Betul’ juga bermaksud setiap individu di dalam pasukan kerja betul-betul mahu buat kerja dan menjayakan projek. Bagi projek Islam, sudah tentu mereka diminta untuk tidak mempunyai dorongan yang lain selain dari dorongan mahu melihat projek itu berjaya. Dorongan luar biasanya mudah hilang dan akan mematikan kehendak di tengah jalan.
  5. ‘Betul’ juga bermaksud setiap individu di dalam pasukan kerja tersebut betul-betul ‘ngam’ sebagai satu pasukan. Rapat, telus, memahami, boleh toleransi, lasak untuk menerima teguran dari rakan kerja, tiada dendam kesumat terhadap rakan sepasukan ….. atau mudah kita simpulkan sebagai sehati sejiwa. Ini biasanya memerlukan satu proses yang panjang dan jatuh bangun bersama dalam projek dakwah.
  6. Kalau seorang ketua dapat ahli pasukan yang ‘betul’ maka itu adalah nikmat yang cukup besar dalam hidupnya, Pengalaman saya, saya simpulkan kalau ada 10 pasukan kerja dakwah, mungkin dua daripadanya akan dapat ahli pasukan yang ‘betul’. Baki lagi lapan akan dapat pasukan yang ‘separuh betul’ atau ‘sebahagian betul’. Kadang-kadang boleh berlaku ketua dapat pasukan yang ‘salah’. Dan boleh juga berlaku pasukan yang ‘betul’ tapi ketuanya pula ‘salah’. Musibah adalah apabila keseluruhan pasukan itu ‘salah’.
  7. Dalam perniagaan, kita mudah mencari ahli pasukan yang ‘betul’. Majikan ada wang yang boleh ditawarkan kepada calon-calon yang ramai yang boleh dipilih yang terbaik daripadanya. Tetapi dalam dakwah, ianya tidak semudah itu. Calon yang ada amat terhad dan terbatas. Tiada apa yang boleh ditawarkan kecuali masing-masing hanya berharapkan syurga Allah sahaja. Ahli yang menganggotai organisasi dakwah juga datang dari latar belakang yang mungkin tiada kaitan dengan tabiat projek dakwah itu sendiri.
  8. Tetapi rahmat Allah itu luas. Manusia yang diciptakan oleh Allah adalah makhluk yang boleh belajar dan menguasai perkara susah dan sukar. Laut yang ganas dijinakkan oleh manusia. Ribut yang kencang dimanfaatkan oleh manusia. Besi yang keras menjadi lembut di tangan manusia. Maka begitulah juga dengan anggota organisasi dakwah sebenarnya.
  9. Teruslah berusaha supaya menjadi ahli pasukan yang ‘betul’ walau pun pada peringkat awalnya tidak begitu. Pengalaman di dalam Isma …. kumpulan profesional pengamal perubatan dibangunkan di peringkat awal oleh jurutera, media dibangunkan di peringkat awal oleh doktor veterinar dan ustaz tafsir, badan kajian sains politik dimulakan dengan anggota dari lepasan kejuruteran, badan seni budaya anggotanya adalah akauntan dan begitulah banyak lagi contoh yang boleh diambil.
  10. Dan yang paling susah di dalam pasukan kerja yang ‘betul’ ini adalah setiap individu perlu betul-betul amanah dan bertanggungjawab terhadap segala tugasannya. Ambil tanggungjawab sepenuhnya dan fikir sehabis mungkin semasa merancang, dan ‘pulun’ bagi berjaya ketika perlaksanaan. Jangan amalkan budaya ‘taici’. Jangan amalkan budaya ‘datang mesyuarat bawa perut sahaja’. Jangan amalkan budaya ‘melepas batok di tangga’.

Akhirnya …. jika ditakdirkan kita terlibat dengan projek dakwah, jadilah rakan yang membantu dan bukan yang menyusahkan. Sikap kita akan menentukan keberkesanan pasukan kerja. Baik kita, baiklah. Buruk kita, buruklah pasukan.


Jadilah seperti aur dan tebing … juga seperti pahat dengan penukul. Saling mengukuh antara satu sama lain.’


Jangan jadi seperti melukut di tepi gantang; masuk tidak menambah timbang, keluar tidak mengurang timbang. Lebih malang jika menjadi telur yang busuk, kerana busuknya ia merosakkan sesangkak.

Sumber: Telegram Channel – Ust Muhammad Fauzi Asmuni

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *