Sahabat Dan Cinta Rasul

 Sahabat Dan Cinta Rasul

Sahabat Nabi adalah mereka yang beriman dan sempat hidup bersama Nabi s.a.w. Dalam sirah Nabi sendiri, antara watak utama yang sentiasa disebut juga adalah sahabat.

Jadi sangat sesuai jika kita ingin melihat bagaimana kecintaan sebenar kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah melalui para sahabat. Antara gambaran ringkas, kecintaan yang ditunjukkan para sahabat ialah mereka sanggup mempertahankan Nabi s.a.w.

Bagaimana saidina Abu Bakar Assiddiq mempertahankan bukti kerasulan baginda dalam peristiwa Isra’ Mi’raj. Bagaimana Talhah bin Ubaidillah pertaruhkan nyawanya dalam perang Uhud untuk mempertahankan baginda. Bagaimana sahabat berkorban bersama Nabi menggali parit dalam perang Khandaq. Banyak lagi kisah dan pattern yang sama bukti kecintaan sahabat kita boleh temui dalam kitab-kitab sirah. Semua itu adalah kerana sahabat yakin dengan risalah yang dibawa oleh baginda dan sanggup berkorban untuknya .

Kerana itu sangat mudah kita menyebut kita cinta Nabi, tapi hakikatnya tidak mudah untuk kita membuktikan cinta kepada Nabi seperti yang ditunjukkan sahabat kerana ia memerlukan kita mengorbankan jiwa dan harta sendiri.

Cabaran kita hari ini adalah bagaimana kita membuktikan cinta kita dengan mempertahankan risalah tauhid dan menyambung tugas meninggikan ia ke seluruh pelusuk dunia. Bunyinya sangat sukar, tapi mudah jika kita mulakan dengan berjinak-jinak dengan usaha amar ma’ruf nahi mungkar pada kenalan terdekat. Fahamkan mereka erti tauhid dan perasaan taqwa kepada Allah. Kemudian perlahan-lahan melebarkan kepada masyarakat.

“Yaa, Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh, Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus, Yang tetap di atas jalan yang lurus (ugama Islam). Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.”
[Surah Ya-Seen 1 – 6]

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

[Surah Al-A’raf, Ayah 2]

Sumber: Fb Wan Ahmad Fathin

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *