Renungan Di Sebalik Kelahiran Agung.

 Renungan Di Sebalik Kelahiran Agung.


Kelahiran merupakan satu anugerah dan rahmat daripada Allah Taala kepada makhluk-Nya. Kebahagiaan, ketenangan dan kemanisan hidup akan muncul apabila hidup bersama sesebuah komuniti di muka bumi Allah Taala yang indah ini.

Namun begitu, kelahiran insan yang paling agung di muka bumi ini ialah kelahiran Baginda Nabi Saw. Ia juga merupakan satu rahmat yang agung untuk keseluruhan alam. Hal ini dapat dibuktikan di dalam surah As- Saf ayat 6 hingga 9 ketika itu Nabi Isa A.S memberi satu berita gembira kepada Bani Israel akan bangkit nya seorang rasul yang bernama Ahmad untuk membimbing manusia. Namun, mereka mendustainya.

إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُم مُّصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَمُبَشِّرَۢا بِرَسُولٖ يَأۡتِي مِنۢ بَعۡدِي ٱسۡمُهُۥٓ أَحۡمَدُۖ

“Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”

-Surah As-Saf, Ayat 6

Sebelum Nabi Saw dilahirkan, sebahagian umat pada waktu itu telah jauh dan menyimpang dari ajaran Nabi Isa A.S. Dunia pada waktu itu mengalami kegelapan, kezaliman dan jahiliyah semakin berleluasa.
Sebahagiannya masih mengikuti ajaran Nabi Isa A.S, tetapi kebanyakannya telah diselewengkan mengikut kehendak nafsu oleh sebilangan ahli kitab ketika itu, dan ‘mencipta’ agama sendiri.

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Hakikatnya, Allah Taala mengutuskan Baginda Saw adalah sebagai petunjuk bagi menyempurnakan agama Islam sebagai agama yang benar dan mulia di sisi Allah Taala berbanding dengan agama lain. Sepertimana firman Allah Taala dalam ayat seterusnya iaitu :

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ

Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Tambahan pula, Baginda Saw juga diutuskan adalah merupakan satu bentuk ketetapan Allah Taala pada alam ini, iaitu akan datang kesenangan selepas berlakunya kesusahan, datangnya cahaya selepas berlakunya kegelapan.

Berikutan dengan keadaan tanah arab mengalami kegelapan, perutusan Baginda Nabi Saw menyebabkan tanah arab menjadi tamadun yang paling digeruni oleh seluruh dunia iaitu tamadun yang berasaskan tauhid.
Seperti dalam ungkapan selawat yang selalu kita dengar :

أنت ﺷﻤﺲ ﺃﻧﺖ ﺑﺪﺭ ، ﺃﻧﺖ ﻧﻮﺭ ﻓﻮﻕ ﻧﻮﺭ

Engkau bagai matahari, engkau bagai bulan purnama, engkau cahaya di atas cahaya.

Ini menunjukkan bahawa peranan seorang mukmin itu adalah membina umat yang mengikut acuan Al- Quran. Pembinaan tamadun yang kukuh ini adalah bermula daripada seseorang mukmin iaitu daripada Baginda Nabi Saw seorang. Kemudiannya, kesan dakwah Baginda Saw ini dapat berkembang dan diwarisi oleh para sahabat serta para tabiin sehingga sampai ke harini.
Inilah peranan mukmin itu adalah meneruskan sunnah terbesar yang dibawa oleh Nabi Saw dan para sahabat adalah membina generasi yang mengikut acuan Al-Quran.

Namun, keadaan realiti umat harini sedang tenat, bukannya tenat itu disebabkan muslim jumlahnya kecil seperti di zaman Nabi Saw dan para sahabat, bahkan kita ramai. Perkara ini disebabkan sebahagian muslim meninggalkan dan mengabaikan tanggungjawab yang terbesar iaitu amar makruf nahi mungkar. Mukmin harini sudah jauh daripada sunnah yang utama.


Hakikatnya, Dakwah ini merupakan satu tanggungjawab bagi seseorang yang bergelar mukmin. Kalau kita perasan, ramai muallaf yang masih baru memeluk Islam lebih semangat menyebarkan Islam kepada masyarakat tanpa segan silu. Ini disebabkan mereka faham bahawa kehidupan Islam ini adalah kehidupan yang lebih baik dari sebelumya. Mereka pernah merasai hidup dalam kegelapan. Itulah peranan yang sepatutnya dilaksanakan oleh setiap mukmin

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,

تَأمُرون بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Kesimpulannya, peribadi seorang mukmin itu sifatnya mengesani, dan kehadirannya dirasai. Andai dia tidak berperanan, maka hakikatnya iman itu mati. Peranan mukmin sangat besar sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Saw dan para sahabat. Mereka bersusah payah dan berkorban untuk melihat generasinya mengikut acuan Al-Quran dan Sunnah. Tapi, realiti kita pada harini mengabaikannya. Layakkah kita menjadi umatnya.

Semoga kita suburkan kecintaan pada Baginda Nabi Saw dalam menjunjung segala sunnah-Nya dan menjulang risalah baginda dalam perjuangan membina generasi.

**Amirul Hadif Bin Ab Rahman Thobroni merupakan mahasiswa tahun 3 di Universiti Al Azhar, Kaherah, dalam bidang Bahasa Arab.

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *