Siapa Yang Mahu Bersama Rasulullah SAW Di Akhirat, Dia Harus Bersamanya Di Dunia

 Siapa Yang Mahu Bersama Rasulullah SAW Di Akhirat, Dia Harus Bersamanya Di Dunia

1996, Medina, Saudi Arabia — Evening prayer at the Mosque of the Prophet. During the annual hajj nearly all the two million pilgrims visit Medina. — Image by © Kazuyoshi Nomachi/Corbis

Saban tahun kita melalui bulan Rabiul Awwal, lalu mengingatkan kita kepada kelahiran junjungan besar Rasulullah SAW.

Kebersamaan bersama baginda di akhirat adalah suatu cita-cita yang tinggi, yang boleh dikatakan kebanyakan daripada kita menginginkan anugerah itu.

Namun berapa ramai yang sedar harga yang perlu dibayar bagi sebuah anugerah tertinggi itu?

Kebersamaannya di akhirat mudah-mudahan boleh dikurnia dengan kita mencari sebanyak mungkin asbab dan cara yang menggolongkan kita menjadi orang yang bersama dengannya, sejak di dunia lagi.

Ini kerana setiap balasan di akhirat adalah adil, tepat dan bersesuaian dengan amalan kita di dunia.

Kita harus berani untuk menekan butang ‘reset’ terhadap ketetapan-ketetapan yang kita letak sebagai rangka kehidupan kita, agar ia selari dengan semangat dan roh golongan yang bersama dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW adalah paksi kesempurnaan manusia. Mana-mana yang menjadikannya SAW kiblat kehidupan akan kena sebahagian daripada kesempurnaan ciri kemanusiaan.

Jadi apabila seseorang itu menghampiri paksi kesempurnaan tersebut, ia akan mengambil sedikit daripada cahaya kenabian itu untuk dijadikan pula sebagai panduan kepada orang lain.

Apabila Rasulullah SAW wafat, para sahabat meriwayatkan hadis dan merekodkan sirah dan kehidupan baginda SAW bersama para sahabat RA. Kurun selepasnya pula merekodkan athar sahabat RA dan tabien RHM serra tabie-tabiein RHM selepas mereka bagi menggambarkan cahaya-cahaya kesempurnaan itu.

Saya melihat rahsia dan hikmah Tuhan dalam mereka mengumpulkan sebanyak mungkin hadis dan athar adalah bagi memberikan satu gambaran kehidupan yang sejelas mungkin kepada umat sebelumnya, bagaimanakah rupanya sebuah kesempurnaan.

Bagi sahabat RA, mereka boleh melihat cahaya kenabian itu depan mata mereka, jadi mereka tidak memerlukan penulisan kitab dan pengumpulan ratusan hadis dalam menggambarkan siapakah itu Rasulullah SAW. Namun berlainan pula kepada para tabien dan generasi seterusnya.

Semakin jauhnya kita dengan zaman kenabian, semakin perlulah kita kepada ‘bahan sokongan’ bagi menggambarkan sosok tubuh baginda SAW yang merupakan kiblat kesempurnaan.

Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW itu walaupun sudah wafat secara jasadnya, namun secara maknawi ia wujud di sekeliling kita, manakala secara rohani ia bersama dengan para roh yang bersama dengannya.

Hanyasanya kita, samada belum bersungguh-sungguh, atau belum layak, dalam menggapai dan menggarap, atau belum mampu membayar … harga sebuah kebersamaan.

Moga Allah himpunkan kita bersama baginda SAW di syurga.

Wallahua’lam bissawaab.

*Ustaz Syamil Esa merupakan calon Master di Universiti Al-Azhar Kaherah dalam bidang Syariah.

1996, Madinah, Arab Saudi — Suasana solat Maghrib di Masjid Nabawi sewaktu musim Haji. Sekitar 2 juta jemaah membanjiri kawasan masjid.. —

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *