Tasawwur Tarbawi Yang Diajarkan Oleh Politikus

 Tasawwur Tarbawi Yang Diajarkan Oleh Politikus

Hari demi hari kebencian rakyat marhaen terhadap ahli politik semakin jelas. Nyata ahli politik, tidak kira di pihak manapun sedang mengalami trust deficit disebabkan banyak isu. Tamak harta, gila kuasa, berebut jawatan, mengutamakan kepentingan diri berbanding rakyat, dan lain-lain perangai yang kita dapat lihat semakin lama semakin jelas lebih-lebih lagi dengan perkembangan media sosial yang memudahkan segala maklumat ditular.

Kesemua perangai ini sebenarnya timbul daripada satu akar. Itulah yang dipanggil NAFSU. Apa yang kita lihat berlaku pada mereka adalah disebabkan mereka mengikut hawa nafsu mereka. Keinginan diri yang kuat. Ini lah yang menyebabkan mereka tenggelam dalam keinginan nafsu mereka.
Sebab itu Allah mengingatkan kepada Nabi Daud ketika diberikan tampuk kekuasaan dunia kepadanya;
” يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ” [ص: 26]

Siapa tak nak pencen menteri berpuluh-puluh ribu walaupun hanya berkhidmat selama sepenggal? Siapa tak nak kerja goyang kaki dalam bilik aircond gaji masuk ribu riban? Belum lagi dikira duit sagu hati bawah meja.

Semua ini mengelabukan mata seorang manusia waras. Walaupun mungkin ada yang pada asalnya seorang yang berjiwa murni ikhlas memperjuangkan rakyat, tetapi apabila berhadapan dengan keuntungan yang besar semua itu dibakulsampahkan.
Inilah yang menyebabkan rakyat panas, marah, kecam, benci sepenuh hati.

Tetapi cuba kita belajar daripada mereka sesuatu. Ya, mereka sebenarnya sedang memberikan sebuah tasawwur tarbawi kepada kita. Bagaimana kita melayan keinginan diri kita sekarang?

Muhasabah kembali pengurusan diri kita apabila berhadapan dengan keinginan dan nafsu. Adakah kita seorang yang lebih mengikut nafsu serta keinginan kita apabila berlaku pertembungan dengan perkara yang lebih besar? Adakah kita akan mengutamakan urusan agama dakwah dan tarbiah ataupun kita lebih memilih perkara yang menguntungkan kita dari segi duniawi.

Sebenarnya pengurusan nafsu dan keinginan diri kita sekarang adalah satu perkara yang besar apabila kita melihat kepada senario politik semasa. Bayangkan lah jika kita ditempatkan dalam posisi mereka, adakah kita betul akan memilih keputusan dan tindakan yang menguntungkan ummat dan agama ini ataupun keputusan yang bertepatan dengan kehendak dan nafsu kita sendiri.

Lupakan duit ribu riban. Cuba lihat setiap senario kehidupan kita, adakah kita gunakan lebih banyak masa untuk keuntungan diri atau keuntungan agama? Tenaga, duit, minda, di manakah lebih banyak kita habiskan?
Sebab itulah hadaf (tujuan) tarbiah yang utama adalah mengawal nafsu. Seperti yang disebutkan dalam hadis;
“لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ”
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Tidak beriman salah seorang di antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa“

Cara kita mengurus dan berhadapan dengan kerehatan, duit, keselesaan dan kemewahan pada diri kita sekarang, itulah cerminan kepada senario politik sekarang. Jika kita benci dengan ahli politik yang ikut nafsu, apa kata kita mula dengan mengawal nafsu yang ada dalam diri kita dan lebih mengutamakan maslahat agama berbanding keinginan peribadi.

Seorang ahli hadis, Maimun bin Mahran pernah memberikan kepada kita satu petunjuk penting tentang apakah itu nafsu yang perlu kita jauhi;
وقال ميمون بن مهران : إياكم وكل هوى يسمى بغير الإسلام (رواه ابن بطة في الإبانة)
Berhati-hatilah kamu dengan hawa nafsu (keinginan) yang bukan datang daripada Islam.

Wallahua’lam.

*Saudara Muhammad bin M Hasan merupakan calon master Kuliah Usuluddin dalam pengkhususan Tafsir di Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *