MERDEKA SEORANG HAMBA

 MERDEKA SEORANG HAMBA

Manusia sering lari dari diperhamba, lari mendambakan kebebasan.

Mereka menyangka hakikat merdeka adalah bebas daripada sesuatu yang mengikat kemahuan mereka, bebas membuat pilihan, bebas melakukan apa sahaja yang diinginkan.

Mereka cuba merangka cara hidup sendiri. Dan membenci unsur luar yang mengganggu ‘cara’ nya.

Namun mereka lupa bahawa mereka hanyalah seorang Hamba.

Hamba yang jiwanya sentiasa dahaga.

Dahagakan ‘pelindung’ yang melindunginya dari segenap sudut. Menjaga makan minumnya, memberinya jalan keluar dari masalah, mengamankan kerisauan, menghilangkan ketakutan, melindunginya dari bahaya yang mendatang.

Hamba yang hidupnya sentiasa bergantung kepada ‘tuan’ yang menunaikan segala kemahuannya.

Malangnya, ujian, tekanan dan hiruk pikuk kehidupan dunia yang dihadapi telah mengaburi mata hatinya daripada mengenal ‘Tuan’ yang mengatur kehidupannya.

Kekaburan akhirnya menyebabkan mereka terkapai-kapai mencari ‘tuan’ yang segera menunaikan kehendaknya, dengan itu mereka tersalah memilih Pelindung.

Kemudian mereka sedar akan keterbatasan ‘tuan’ yang dipilih setelah ia tidak mampu menunaikan kemahuannya yang banyak, tidak mampu menjamin hidupnya, serta tidak kekal.

Dipilih lagi ‘tuan’ lain, ditukar pula setelah berubahnya kemahuan.

Hinggalah mereka merasakan seolah diperhamba oleh kemahuan sendiri.

Mereka merenung sejenak, buntu mencari cara untuk memerdekakan diri dari diperhamba oleh kemahuan.

“Dimanakah merdeka?” “Adakah ada ‘Tuan’ yang mampu memerdekakan seorang Hamba ini?”

Ya, kemerdekaan hadir apabila seorang Hamba itu memperhambakan jiwa raga sepenuhnya kepada ‘Tuan’ yang menciptanya, Yang Maha Kekal.

Seperti itulah suluhan makna merdeka hakiki menurut kacamata Ilahi:
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah (mengabdikan diri) kepada-Ku.” (Az Zariyat: 56)

Yang memberinya hidup, memberinya segala nikmat dan mengujinya dengan nikmat tersebut. Yang Maha Bijak menyusun serta merencana. Yang Maha Tahu apa yang baik dan apa yang buruk untuk hambanya.

Dia lah ‘Tuan’ yang menguji hamba-hambaNya dengan membekalkan ‘jiwa seorang hamba’ yang mendamba kemerdekaan, agar memerdekakan dirinya dengan cara tunduk patuh pada arahan, redha sepenuh hati dengan ketentuan yang disusun olehNya.

Oleh itu, pilihlah Dia sebagai tempat penyerahan diri, bagi merasai kemerdekaan hakiki.

رَّبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ فَاتَّخِذْهُ وَكِيلًا

“Dia lah Tuhan timur dan barat, tidak ada tuhan selain Dia, maka jadikanlah Dia sebagai Pelindung” (Muzzammil: 9)

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-63, Malaysia prihatin.

*Nik Ahmad Khalifah Bin Nik Ab Rahim merupakan mahasiswa tahun 1 di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *