Apa Patut Dicapai Selepas Korban?

 Apa Patut Dicapai Selepas Korban?


Saban tahun umat Islam meraikan Hari Raya Aidiladha. Seperti kebiasaannya, selepas sebulan menjelangnya raya aidilfitri, akan hadir nya perayaan Aidiladha ini. Kedua-dua raya ini merupakan perayaan disyariatkan oleh Allah Taala kepada hamba-Nya. Kedua-dua perayaan ini akan datang dan pergi dalam kitaran hidup seorang muslim.

Simbolik perayaan adalah sebuah kemenangan, simbolik perayaan Aidiladha pula adalah berkait dengan pengorbanan yang agung.

Sepertimana yang telah dikisahkan di dalam Al- Quran surah As-Saffat ayat 102 dan ayat -ayat berikutnya, menceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim As untuk menyembelih anaknya yang amat disayangi, Nabi Ismail A.S kerana mentaati perintah Allah melalui mimpinya.

Firman Allah swt :
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.”

Kemudian kedua-duanya menyerahkan diri bulat-bulat tanpa sedikitpun ragu dengan perintah Allah Taala.
Lalu, dengan kesanggupan dan redha yang ditunjukkan, Allah kemudiannya memanggil Nabi Ibrahim As dan berfirman :

قَدۡ صَدَّقۡتَ ٱلرُّءۡيَآۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجۡزِي ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Surah As-Saaffat, Ayat 105.

Kisah di atas menunjukkan erti pengorbanan yang sebenar iaitu menyerahkan sesuatu benda yang bermakna dan amat disayangi dalam hidup .

Kalau kita mengikuti perjalanan Nabi Ibrahim sebelum kisah ini, baginda tidak dikurniakan zuriat ketika bersama dengan isteri pertamanya Siti Sarah. Nabi Ibrahim pun terus memanjatkan doa kepada Allah untuk dianugerahkan seorang anak yang soleh dan taat kepada-Nya.
Kemudain, rezeki daripada perkahwinannya yang kedua, Allah telah mengurniakan seorang zuriat yang soleh, iaitu Nabi Ismail As. Selepas Nabi Ismail As sudah capai usia remaja, Allah Taala datangkan satu ujian kepada Nabi Ibrahim As. Iaitu terpaksa mengorbankan satu-satunya benda yang baginda sayang iaitu seorang anak yang soleh dan baik yang dikurniakan oleh Allah Taala ketika baginda hidup. Hakikat pengorbanan itu bukanlah menyerahkan benda yang buruk, atau barang yang tidak diingini, sebaliknya melepaskan sesuatu yang paling disayangi.

Sehubungan dengan itu, sambutan Aidiladha ini adalah satu nilai yabg besar di dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim. Bukan sekadar sambutan biasa, menonton sembelihan dan menghirup sup tulang. Bahkan, menuntut kita untuk melaksanakan pengorbanan sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim As dan Nabi Ismail As. Adakah kita mampu contohi keimanan dan ketaatan mereka.

Matlamat ibadah penyembelihan ini adalah untuk membentuk ketakwaan kepada Allah Taala.
Sepertimana firman Allah Taala di dalam surah Al-Haj yang bermaksud :

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.”

“Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Menelusuri ayat di atas, sebagai seorang muslim hendaklah dia menyembelih korban dengan nama Allah Taala serta membesarkan dan mengagungkan-Nya, dan tidak disertai dengan niat yang lain selain dari Allah Taala. Umat islam perlu memahami setiap ibadah yang dilakukan adalah untuk membentuk taqwa dalam diri kita. Begitu juga dengan pensyariatan solat, puasa, dan ibadat lain adalah untuk membentuk sifat taqwa kita kepada Nya. Firman-Nya
( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَت

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
[Surah Al-Baqarah 183]

كَذَ ٰ⁠لِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ ءَایَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ یَتَّقُونَ)

Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.

[Surah Al-Baqarah 187]

Tuntasnya, Umat islam kena sentiasa berpegang pada wahyu, agar terselamat daripada tasawur dan kepercayaan yang silap tentang islam. Tasawur bermaksud gambaran yang boleh membentuk kepercayaan, sikap dan tindakan. Orang mukmin yang sentiasa membaca dan mentadabbur ayat-ayat Allah Taala, gambaran dan kerangka fikir terhadap agamanya akan jelas dan betul.

Begitu juga kisah-kisah yang lain di dalam Al-Quran. Sebagai contoh, kisah golongan yang mendapat balasan baik akan diganjarkan syurga yang dipenuhi nikmat, sebaliknya golongan yang mendapat balasan buruk akan diazab di dalam api neraka yang panas dan mengerikan. Kewujudan malaikat, kebenaran hari kiamat dan lain-lain lagi.

Segala kisah yang diceritakan Al-Quran untuk membina kepercayaan yang kukuh bagi memastikan manusia percaya bahawa semua yang berlaku di dalam Al-Quran benar-benar berlaku bukannya rekaan. Sesiapa yang kurang memberi masa dengan Al-Quran kepercayaan nya terhadap semua itu menjadi samar-samar dan mudah terpedaya dengan doktrin asing.

Sehubungan dengan itu, umat islam kena memahami cara untuk istiqamah dengan segala ibadah kita lakukan adalah untuk mengharapkan rahmat-Nya dan takutkan azab-Nya. Iaitu mengimbangkan rasa takut dan berharap kepada Allah Taala.

Al Hafiz ibn Kathir pernah berkata : “tidak sempurna ibadah tanpa rasa takut dan mengharap”. Oleh itu ibadah yang sempurna dilakukan kerana inginkan rahmat Allah dan takutkan azab Nya.

Berikutan dengan wabak Covid 19 yang masih belum pulih, kita sebagai seorang muslim perlu sedar bahawa musibah yang Allah datangkan kepada kita bukan saja-saja, perlu untuk kita sentiasa bermuhasabah dan bertaubat kembali ke jalan yang lurus. Hayatilah sepenuhnya nilai ibadah yang kita lakukan untuk mencapai ketakwaan kita kepada Allah Taala.

Akhir kalam, perayaan ini akan bernilai sekiranya kita dapat memahami matlamat ibadah yang dituntut. Setiap ketaatan kita kepada Allah Taala akan sia-sia sekiranya kita melakukannya hanya kerana telah menjadi kebiasaan. Seorang muslim yang luar biasa akan melakukan ketaatan kepada Allah Taala dengan cara dan penghayatan yang luar biasa.

*Amirul Hadif Bin Ab Rahman Thobroni merupakan pelajar kuliyah Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *