Kunjungan Rasmi Isma Mesir ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah

 Kunjungan Rasmi Isma Mesir ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah

KAHERAH – Kunjungan rasmi oleh Pengerusi Isma Mesir, Wan Ahmad Fathin Bin Wan Johari beserta ahli Jawatankuasa Cawangan (JKC) ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telah diadakan pada Rabu lalu. Pertemuan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara Isma Mesir dan kedutaan Malaysia serta mendapatkan nasihat serta maklumat semasa secara langsung daripada pihak kedutaan Malaysia di Mesir berkaitan keselamatan dan status peperiksaan para pelajar.

TYT Mohd Haniff Abd Rahman (Duta Besar Malaysia ke Kaherah) serta Encik Aizal bin Anual (Menteri Penasihat Pendidikan) bersama barisan JKC Isma Mesir.

Duta Besar Malaysia ke Kaherah, TYT Mohd Haniff Abd Rahman dalam pertemuan tersebut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan maklumat semasa daripada sumber rasmi atau pihak berautoriti dan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan dikhuatiri akan menjejaskan keadaan yang sedia ada.

“Pelajar yang pulang harus memikirkan kos tiket dan kesan yang perlu ditanggung terhadap pembelajaran mereka. Kita tidak galakkan untuk pulang tetapi tidak menghalang mana mana pelajar berbuat demikian,” katanya.

Penyerahan cenderahati daripada pengerusi Isma Mesir saudara Wan Ahmad Fathin Wan Johari kepada TYT Mohd Haniff Abd Rahman, Duta Besar Malaysia ke Kaherah.

Isma Mesir mengambil peluang untuk mendapatkan nasihat berkenaan inisiatif ‘Aku Ingin Pulang: Misi Kasih Pelajar Mesir’ yang dibuat dengan kerjasama Yayasan Maghfirah di mana misi ini mensasarkan bantuan membawa pelajar kurang berkemampuan yang terkandas di Mesir.

Dianggarkan lebih 6000 pelajar telah pulang dari Mesir, namun masih berbaki 3000 pelajar yang tidak pulang kerana masalah kewangan dan faktor peperiksaan yang masih berjalan.

Misi bantuan ini telah berjaya membawa pulang seramai 22 orang pelajar pada trip pertama yang berlepas pada 17 Julai yang lalu. Isma Mesir dan Yayasan Maghfirah mensasarkan misi bantuan ini dapat menampung kos pulang sekurang-kurangnya untuk 300 pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.

Orang awam yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Yayasan Maghfirah di Maybank (562263552802) atau CIMB (8603221427).

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *