Kemenangan Hari Raya dan Norma Baharu

 Kemenangan Hari Raya dan Norma Baharu

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahilhamd.

1. Rasulullah Saw pernah bersabda mafhumnya; “Umat Islam mempunyai dua hari raya, Raya Aidul fitri dan Raya Aidul Adha.” Maka pada ketika ini digalakkan untuk meraikannya sebagai tanda kemenangan dan kegembiraan. Namun sedikit perbezaan raya pada tahun ini ialah kita akan meraikannya dengan norma yang baharu.

2. Kemenangan dan norma baharu mempunyai persamaan pada satu titik iaitu ia adalah satu hasil yang akan berlaku setelah menjalani suatu proses. Proses ini dipanggil “survival” iaitu cara manusia bertindak ketika berhadapan keadaan yang berbeza daripada kehidupan biasa. Kemenangan hari raya dicapai selepas bersusah payah menahan nafsu syahwat dari makan, minum, bersama isteri dipagi hari, mengumpat dan segala maksiat lain. Norma baharu pula seperti kesan daripada pandemik Covid-19, orang ramai menjaga jarak sosial, tidak berjabat tangan dan mengurangkan pergerakan .

3. Namun adakah tindakan norma baharu asing bagi umat islam?. Hakikatnya norma baharu adalah suatu yang dekat dengan umat Islam sejak dahulu kerana ia telah berlaku di dalam tiga aspek besar iaitu aspek ibadah, akidah dan akhlak:

a. Di dalam aspek ibadah, jika dahulu Cik Kiah seorang muslimah yang biasa namun setelah sedar akan keperluan menjadi muslimah yang bagus dia akan mengambil berat melakukan Qiamullail sehingga menjadi rutin kebiasaanya kerana ia merupakan perkara paling kuat untuk menjaga iman. Selain itu, jika dahulu Cik Kiah seorang yang selalu gelisah, hati tidak tenang serabut dengan masalah hidup, memikirkan rezeki keluarga maka norma baharu hidupnya adalah dia perlu sentiasa berzikir dan mengingati Allah kerana dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.

b. Di dalam aspek akidah, jika dahulu Pak Man seorang kaki judi, setiap hari tikam nombor ekor tetapi setelah mengetahui judi merupakan dosa besar maka Pak Man wajib meninggalkan tabiat buruk itu. Kemudian kalau dahulu Pak Man seorang penyokong LGBT malah hari- hari memperomosikan LGBT maka selepas mengetahui LGBT ialah perkara yang Allah larang dan tiada kena mengena dengan hak asasi manusia bahkan mereka telah melanggar hak Allah, maka Pak Man wajib bertaubat dan meninggalkan perkara itu.

c. Di dalam aspek akhlak, kalau dahulu Cik Kiah seorang kaki gosip, hari-hari bawa cerita sensasi untuk  kawan-kawan, kadang gosip lelaki orang kadang gosip anak orang. Maka selepas Cik Kiah tahu tuntutan berakhlak baik maka dia perlu menjadi seorang yang berhati-hati di dalam percakapan dan sentiasa memperelokkan akhlak nya kerana Akhlak yang mulia hasil dari iman yang baik, tidak ada nilai iman yang tidak disertai akhlak. Sama juga kalau dahulu Cik Kiah seorang yang kedekut, adakalanya kedekut duit nak sedekah terkadang sampai kedekut senyum maka selepas tahu tuntutan akhlak dia perlu berubah menjadi seorang yang pemurah kerana Allah berfirman harta yang baik adalah yang disedekahkan, pahala itu untuk Cik Kiah sendiri.

4. Itulah norma baharu yang  telah diamalkan oleh umat Islam malah antara norma baharu yang paling besar didalam sejarah manusia adalah selepas wahyu pertama yang diturunkan kepada Baginda Rasulullah Saw iaitu seruan pengabdian secara penuh dari pengabdian kepada hamba kepada pengabdian kepada tuhan sekalian alam iaitu Allah Swt.

5. Hikmah disebalik kemenangan hari raya adalah pada perubahan AKHLAK yang lebih ideal, cara bersyukur pada nikmat kemenangan, peningkatan pada KETUNDUKAN kepada Sang pencipta yang menghidupkan kepaduan tawakal. Malah sifat SEMANGAT yang berterusan kerana percaya kepada janji yang benar dan juga pada sifat SABAR yang sentiasa diulang-diulang kepada orang beriman dengan itu adalah kemuncak kemenangan pada umat islam.

6. Hikmah disebalik norma baharu adalah pada kesediaan menerima hakikat terhadap realiti yang sedang berlaku dan sikap tidak hanya “forecasting” menduga-menduga masa hadapan tanpa ada tindakan yang proaktif. Malah ia menyentuh aspek syukur  pada KEBEBASAN yang hakiki yang sudah lama dikurniakan kepada umat islam kerana kebebasan sebenar ialah bebas dari pengaruh nafsu dan azab api neraka.

7. Akhir sekali marilah sama-sama kita menilai kemenangan hari raya ini dengan persoalan apakah norma baharu yang telah berjaya kita amalkan kerana hakikatnya norma baharu itulah norma Islam.

Wallahua’lam.

Ustaz Khairul Anuar Bin Rosli merupakan mahasiswa tahun 4 dalam bidang Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir.

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *