Memburu Lailatul Qadar

KAHERAH, 19 MEI – Saban tahun Isma Mesir mengadakan Kem Utaqa’ yang akan mengumpulkan seluruh ahli di bumi Mesir bersama-sama beriktikaf dan memberi sepenuh tumpuan pada ibadah di sepuluh akhir Ramadhan. Tetapi, tahun ini menjadi satu kelainan buat ahli Isma kerana mampu menghidupkan sepuluh akhir Ramadhan hanya di rumah masing-masing berikutan pandemik virus Covid-19 yang semakin menular di Mesir.
Walaubagaimanapun, Kem Utaqa’ ini masih dapat dijalankan selama tiga hari dua malam. Selain ingin menghidupkan 10 malam terakhir, kem ini juga bertujuan untuk menanam syu’ur ibadah dalam kalangan ahli rumah serta dapat dilakukan secara berjemaah. Isma Mesir juga sangat menitik beratkan nilai kerohanian dalam diri setiap ahli. Oleh yang demikian, Isma Mesir berharap agar ahli dapat menjadikan ia sebagai medium lonjakan amal dan terus istiqomah dalam melakukan ibadat kepada Allah S.W.T.

Program seperti ini selari dengan seruan Rasulullah S.A.W untuk beriktikaf pada sepuluh malam terkahir. Seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Umar RA :
“كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يعتكف العشر الأواخر من رمضان”
Maksudnya : ” Rasulullah S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari yang akhir dalam Ramadhan “.
Bersempena sepuluh malam terakhir Ramadhan, Isma Mesir menyeru kepada seluruh umat Islam agar meningkatan amal ibadah dan memperbanyakkan doa bukan sahaja agar dihindari wabak korona, malah bebas dari azab api neraka.



