MEMILIH AL-QURAN SEBAGAI CARA HIDUP

 MEMILIH AL-QURAN SEBAGAI CARA HIDUP


Bersempena dengan peristiwa agung pada bulan Ramadan kali ini iaitu penurunan al-Quran, saya ingin berkongsi sedikit tulisan sekitar kepentingan dan cara kita berta’amul dengan al-Quran.

Tentang tarikh penurunan al-Quran.seorang ulama’ Quran di Mesir, Syeikh Muhammad Abdul Azim (1367H) telah menyebut di dalam kitabnya Manaahilul ‘Irfan, bahawa para ulama’ yang tahqiq di dalam Tarikh Tasyri’ telah mencatatkan bahawa tarikh al-Quran telah diturunkan adalah 17 Ramadan. Jika di Negara Malaysia, kita menjadikan tarikh 17 Ramadan sebagai cuti peristiwa dan mengadakan Majlis Nuzul al-Quran. Walaupun isu tarikh penurunan ini khilaf di antara para ulama,namun itu hanyalah khilaf yang kecil dan saya tidak berniat untuk panjangkannya di sini, dan anda boleh rujuk sendiri di dalam kitab-kitab Ulum al-Quran .

SEHINGGA UMAT INI KEMBALI KEPADA AL-QURAN

Hakikatnya,umat Islam secara khususnya mereka memberikan perhatian yang sangat tinggi terhadap al-Quran, bermula pada awal penurunannya sejak 1400 tahun yang lalu sehinggalah sekarang bahkan sehingga hari kiamat kelak. Ini adalah kerana Allah azzawajal sendiri yang menjanjikan bahawa al-Quran akan tetap terpelihara sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Hijr ayat ke 9:

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

Namun begitu, sebuah lagi hakikat yang perlu disedari adalah, masih ramai lagi mereka yang tidak mengambil al-Quran sebagai kitab petunjuk untuk dipelajari. Hak al-Quran yang utama adalah ianya mesti dipelajari, kerana tidak mungkin manusia dapat menunaikan hak al-Quran yang seterusnya iaitu beramal dengannya, tanpa mempelajarinya terlebih terdahulu. Tetapi malangnya yang berlaku pada kebanyakan manusia pada hari ini adalah sebaliknya, bahkan seolah-olah al-Quran sudah semakin jauh daripada kehidupan kita, sehinggalah Allah taala akan mengangkat semula al-Quran pada hari kiamat nanti.

Perjuangan al-Quran adalah sebuah rehlah yang panjang dan luar biasa, samada dalam dunia ilmiah iaitu penulisan tafsir , dakwah, hafazan, penulisan mushaf, penubuhan pusat pengajian yang melahirkan para Qurra’ dan para pelapis pembawa al-Quran, dan sehinggalah perjuangan menegakkan kalimah Allah yang menuntut darah dan air mata. Kesemua itu adalah rantaian dan silsilah perjuangan yang tidak pernah terputus sejak zaman al-Quran itu diturunkan, cumanya tanyakanlah pada diri kita, dimanakah posisi kita?

3 TIPS BERINTERAKSI DENGAN AL-QURAN

Berikut saya kongsikan 3 cara untuk kita berinteraksi dengan al-Quran :

1.Belajarlah untuk bersahabat dan mencintai al-Quran.

Anda mungkin mengenali ramai orang, tetapi tidak semua yang anda kenal dijadikan sebagai sahabat. Sudah tentu kecintaan kepada seorang sahabat itu berbeza dengan manusia yang lain. Seseorang insan itu, tidak akan mengetahui rahsia seseorang sehinggalah dia meluangkan masa yang lama dan menjadi sahabat yang setia. Begitu jugalah dengan al-Quran, seseorang itu tidak akan mengetahui rahsia-rahsia di dalam al-Quran, sehinggalah dia meluangkan masa yang lama bersama al-Quran dengan mempelajarinya, membacanya, mentadabburnya, menghafalnya dan berusaha untuk mengamalkannya. Kesemua usaha tersebut akan melahirkan kecintaan terhadap al-Quran.

Dan ketika kecintaannya terhadap al-Quran sudah utuh dan kuat, maka rehlahnya bersama al-Quran akan terasa ringan, sehinggalah dia sampai kepada destinasi akhirnya, iaitu kembali kepada rabbnya dengan penuh keredhaan.


2.Sentiasa merasakan peningkatan diri setiap kali berinteraksi dengan al-Quran.

Syeikh Muhammad al-Ghazali, seorang pemikir ulung Islam, telah memberi komentar di dalam bukunya Kaifa Nataamul ma’a al-Quran bahawa generasi salaf dahulu, mereka membaca al-Quran sehingga mencapai kepada tahap dan kedudukan yang tinggi seperti yang kita ketahui, dari segi kefahaman ilmu mereka terhadap al-Quran, kesungguhan mereka beramal dengan al-Quran dan sehinggalah dibukakan kepada mereka basirah terhadap al-Quran dengan terhasilnya kitab-kitab tafsir dan ribuan karya ilmiah yang meninggikan ‘izzah Islam.

Dan insan itu sendiri, tatkala mereka selesai membaca sebuah buku demi buku,mereka akan merasakan peningkatan yang berbeza pada diri mereka. Maka Syeikh Muhammad al-Ghazali katakan,bahawa adalah terlebih patut dan aula bagi pembaca al-Quran itu sendiri merasakan peningkatan yang jauh lebih tinggi ketika membaca al-Quran.Tapi lihatlah diri kita,sehingga sekarang kita masih lagi jauh jika hendak dibandingkan dengan tahapan generasi salaf terdahulu dalam membaca al-Quran.

3.Sentiasa merasakan kebersamaan dengan al-Quran.

Bukan sekadar merasakan diri seoalah-olah sentiasa bersama dengan al-Quran bahkan benar-benar menjadikan diri kita sentiasa hidup dengan al-Quran. Ketika Nabi Muhammad salallahualaihiwasallam diungkapkan akhlaknya itu seperti al-Quran, ia kerana baginda sendiri sememangnya hidup dalam suasana Qurani. Pada fikiran baginda itu adalah fikiran yang Qurani, pengelihatan baginda adalah pengelihatan yang Qurani, kata-kata baginda adalah Qurani dan baginda sememangnya telah sebati dengan al-Quran.

Buat kita sebagai umat baginda, mestilah berusaha sedaya upaya menunaikan hak-hak al-Quran semampu mungkin. Paling kurang kita mentadabbur dari satu ayat ke satu ayat,dari satu tajuk ke satu tajuk. Kadang-kadang pada kisah-kisah di dalam al-Quran,pada berita gembira dan ancaman, pada ayat kenikmatan dan azab, dan sehinggalah kita berjaya mentadabbur kesemua 6236 ayat al-Quran sebelum kita bertemu dengan pencipta kita. Mungkin ini seakan-akan sebuah rehlah yang panjang buat hamba yang lemah seperti kita, namun percayalah kelak akan mebuahkan hasil yang tidak pernah kita rasakan dalam kehidupan ini.

Hanya 3 sahaja tips yang saya ingin kongsikan pada kali ini, dan kesemuanya itu saya hanya naqalkan daripada para ulama’ yang mana mereka lebih mengerti tentang al-Quran disebabkan suhbah mereka yang lama dengan al-Quran. Hakikatnya,al-Quran itu “لا يشبع منه العلماء” yakni para ulama’ tidak pernah kenyang untuk mengambil istifadah dan manfaat daripada al-Quran.

Moga Allah berikan nikmat dan kebaikan daripada al-Quran.

*Ustaz Wan Muhammad Fitri bin Wan Adnan merupakan pelajar dalam bidang Syariah Islamiyyah, tahun 1 Kuliah Syariah wal Qanun di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *