Ada Apa Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

 Ada Apa Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

 

Virus Covid-19 menyerang kita seperti Baghdad diserang pada abad ke-12 dahulu, namun bagi seorang yang bersikap positif, dia akan mengambil setiap perkara yang berlaku sebagai peluang. Manusia seperti ini tidak akan tenggelam dengan virus kelesuan, mati kutu, aliran (trend) semasa yang melanda kebanyakan masyarakat hari ini.

Mari kita singkap sedikit kisah ‘kita’ pada awal abad ke-7 hingga akhir abad ke-10 dahulu. Ketika itu, dunia barat miskin dari sebarang tamadun. Sejarah membuktikan (karya Lavis & Rambou) barat merupakan sebuah negeri tandus, tempat kediaman yang mirip tempat haiwan. Rumah-rumah dibina di kawasan dataran rendah, tidak berkunci kukuh serta tiada jendela. Masing-masing tidur di tanah bertemankan senjata di atas kepala akibat kes kecurian yang berleluasa.

Eropah ketika itu penuh dengan hutan belantara, rumah-rumah di Paris dan London hanya diperbuat daripada kayu serta tanah campuran jerami dan buluh. Kotoran haiwan, juga sampah dapur hanya dibuang di luar rumah. Seluruh keluarga tidur di satu bilik bahkan kadangkala binatang peliharaan juga turut tidur bersama mereka. Jalan-jalan sepi daripada lampu, tiada sebarang saluran air serta kosong tanpa batu bata.

Sedang tamadun ‘kita’ dunia Islam ketika itu jauh kehadapan meninggalkan barat.

Jika kita lihat, kota Baghdad yang dibangunkan oleh Khalifah Mansur menelan belanja sehingga 4.8 juta dirham, seramai 100 ribu tenaga buruh dikerah. Baghdad mempunyai 3 lapis tembok besar, juga terdapat 11 cabang sungai tidak termasuk sungai Tigris dan Efrat yang mengalir di setiap rumah. Di sungai Tigris terdapat 30 ribu jambatan, masjid-masjid mencapai 300 ribu buah sementara penduduknya kebanyakan dari mereka adalah golongan ulama’ sasterawan dan filsuf yang tidak terhitung ramainya.

Di Sevilla, sebuah kota yang mempunyai 6 ribu alat tenun sutra, 100 ribu kilang zaitun dan juga terkenal dengan fabrik keluli. Sebuah istana al Hambra, simbol kemegahan kerajaan andalusia juga masih gah berdiri di puncak bukit menghadap kota Granada. Di Cordoba pula, mereka mempunyai penduduk seramai 1 juta orang berbanding kota terbesar Eropah yang cuma tidak lebih dari 25 ribu penduduk menunjukan kekuatan ekonomi dan keadilan hukum Islam yang menaungi setiap lapisan masyarakat.

Baghdad, Kota Metropolis Abad Pertengahan.

Inilah sejarah kita dan hakikat yang dialami barat. Walaupun hari ini mereka dilihat sebagai contoh model tamadun berjaya, namun sebaliknya mereka sentiasa berada dalam krisis jiwa, masalah seks bebas, dasar perkauman, kezaliman penjajahan, membuktikan bahawa mereka bukan sekadar miskin, bahkan selamanya muflis daripada sebarang perabadan.

Dr Raghib Sirjani dalam mentakrifkan peradaban: “Peradaban ialah kekuatan manusia untuk mendirikan hubungan yang seimbang dengan tuhannya, hubungan dengan manusia yang hidup bersama mereka, dengan lingkungan pertumbuhan dan perkembangan.” (Manusia – Tuhan – Alam)

Apa ‘Function’ kita ?

Formula yang dibawa oleh Muhamad Iqbal seorang tokoh penyair dakwah, merupakan solusi kepada apa yang umat hari ini memerlukan. Beliau mengatakan dalam syairnya : “Bumi telah meningkatkan kekuatan gravitinya, maka bulan beredar di sekitarnya tanpa henti”

Tarikan graviti yang kuat telah digemakan oleh kumpulan-kumpulan dakwah Islam, mereka tidak henti-henti melawan segala arus yang cuba merosakkan agama, jati diri umat serta anak bangsa kita. Umat Islam haruslah berkumpul di pusat graviti tersebut untuk sama-sama bekerja untuk islam.

Ini dikuatkan lagi dengan pandangan Abdul Wahab Azam pengkaji realiti umat Islam, yang telah membuat kesimpulan bahawa : Umat Islam tidak kekurangan apa-apa melainkan perpaduan.

Mulianya para salaf, hebatnya tamadun kita dahulu adalah kerana mereka melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar (berdakwah).

Memetik kata-kata Imam Ghazali : “Tugas itulah (berdakwah) yang menjadi paksi terbesar di dalam agama. Untuk melaksanakan tugas itu, Allah S.W.T. mengutus seluruh Nabi dan Rasul. Sekiranya tugas ini tiada, mengganggurlah kenabian dan risalah Islam, musnahlah agama, kosonglah dunia dan hidayah, tersebarlah kesesatan, berkembang-biaklah kejahilan, menjalarlah kerosakan, yang koyak bertambah besar lubangnya, runtuhlah segala negeri dan binasalah seluruh hamba Allah di muka bumi.”

Ibnu Qayyim menukilkan dalam kitabnya ‘Iddat Sobirin : “Manusia yang paling kurang agamanya dan yang paling dimurkai Allah ialah manusia yang meninggalkan kewajipan-kewajipan ini (Jihad, amar makruf, nahi mungkar, nasihat kepada Allah, rasul-Nya dan hamba-hamba-Nya, menolong Allah, rasul-Nya, agama-Nya dan kitab-Nya)

Sekalipun dia seorang yang zuhud dan meninggalkan dunia seluruhnya. Jarang sekali kamu melihat orang yang merah padam mukanya kerana Allah, marah kerana kehormatan Allah dicabuli dan mengorbankan hartanya untuk menolong agama-Nya”.

Oleh itu, mengambil peluang disebalik virus Covid-19 yang menimpa dunia hari ini, marilah kita duduk sejenak, memikirkan nasib kita di akhirat kelak. Apakah bekalan yang telah kita sediakan untuk menyelamatkan kita dari azab seksaan di hari pembalasan ?

Cukupkah dengan taubat dan ibadat kita yang sedikit ini mampu menghilangkan segala noda, maksiat serta perbuatan secara sengaja mahupun tidak sengaja yang telah menyakiti manusia sekeliling sepanjang hayat kita hingga ke hari ini ?

Mulakan perancangan hari ini, apa yang akan kita sumbangkan (jihad kita) terhadap agama bangsa kita, agar kita tergolong dalam golongan ahli syurga melalui rahmat-Nya.

*Ustaz Rofiq Amin merupakan pelajar dalam bidang Tafsir, tahun 3 Kuliah Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *