Jasadnya Dipenjara, Bukan Jiwa

 Jasadnya Dipenjara, Bukan Jiwa

Malam tadi diberi kesempatan bertadarus surah yusuf bersama ahli beyt. Sedikit tadabbur ayat dari surah ini.

قَالَ رَبِّ ٱلسِّجۡنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدۡعُونَنِيٓ إِلَيۡهِۖ وَإِلَّا تَصۡرِفۡ عَنِّي كَيۡدَهُنَّ أَصۡبُ إِلَيۡهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلۡجَٰهِلِينَ

(Abdullah Muhammad Basmeih)

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”. – Surah Yusuf, Ayat 33

Secara ringkas:

– Ayat 33 di atas adalah mauqif Nabi Yusuf a.s dalam menjaga dirinya daripada fitnah dan kemaksiatan.

– Baginda berdoa dengan meminta perlindungan Allah daripada fitnah. Allah memakbulkan doa baginda dengan memasukkannya ke dalam penjara sesuai dengan pilihan baginda (ayat 34).

– Selain berjaya dakwah rakan banduannya, Nabi Yusuf a.s berjaya selesaikan masalah adik-beradiknya dan masalah negara sehingga dilantik menjadi menteri kewangan selepas keluar dari penjara.

Antara pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah ini adalah:

1. Harus memilih kesusahan/kesempitan demi untuk menjauhi maksiat dan menjaga hati.

2. Terpenjara jasad tak menghalang jiwa yang merdeka. Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang meletakkan Allah sebagai penentu takdir hidupnya dan terus berusaha berdakwah dan melakukan amal soleh dalam apa jua keadaan.

3. Para pendakwah perlu mengambil semua kesempatan yang ada untuk berdakwah. Mengasah potensi diri sewaktu ‘dipenjara’, berbakti kepada umat sewaktu keluar.

__________

Dalam situasi PKP sekarang amat sesuai untuk kita didik diri dengan ayat ini. Jika sebelum perintah berkurung kita banyak terdedah dengan maksiat dan kelalaian, sekarang adalah waktu untuk berusaha melindungi diri, mendidik hati benci kemaksiatan, dan kuatkan iman.

Bagi para pendakwah pula, PKP tidak sepatutnya menghalang dakwah dan tarbiah kita. Dengan pelbagai kemudahan zaman ini kita masih boleh gencarkan dakwah islam dan projek tarbiah. Ramai ulama’ silam telah membuktikan hal ini apabila dipenjara.

Moga-moga lahir dari PKP ini para du’at yang gagah dan berjaya memandu umat ini. Wallahua’lam

Penulis: 

Muhammad Hafizuddin bin Mohamad Hussaini

Mahasiswa Kuliah Usuluddin Universiti Al Azhar

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *