Artikel | Sudut Pandangan yang Menentukan Tahapan Manusia

 Artikel | Sudut Pandangan yang Menentukan Tahapan Manusia

Apabila kita mula melihat nilai dan pemikiran di sebalik segala kejadian, maka kita akan lihat sesuatu perkara dengan hakikatnya.

Kita selalu tertipu dengan perhiasan dan perkara-perkara zahir, yang hanya menjadikan kita terpesona lama-kelamaan menjadikan kita hanya akan menganggap perkara zahir itulah sebuah nilai dan hakikat yang sepatutnya dijadikan kayu ukur tinggi dan rendah sesuatu perkara.

Orang cerdik berbicara mengenai idea dan pemikiran, orang sederhana berbicara mengenai peristiwa, orang kurang cerdik berbicara mengenai manusia.

Guru saya tambah, adapun orang bodoh, dia hanya akan mencela dan memaki hamun.

Hakikatnya, media sosial hari ini banyak menyumbang kepada lahirnya golongan yang kurang cerdik dan bodoh, kerana tabiat ‘nak cepat’, ‘tak sabar’, ‘tak nak selidik’, ‘nak komen semua benda’, dan seumpamanya itu semua menyumbang kepada pengkategorian manusia kelas yang sedemikian.

Untuk orang yang cerdik, media sosial bukan sekolahnya, sekolahnya adalah pendidikan yang teratur, melalui satu proses tertentu yang mendidik sikap tenang dan tidak tergopoh gapah dalam menanggapi satu isu.

“Adapun buih itu akan pergi menghilang. Adapun yang memberi manfaat kepada manusia (iaitu air) akan kekal di atas muka bumi” – surah Ar-Ra’d : ayat 17

Ya, buih memerlukan masa untuk hilang. Yang tak sabar akan anggap buih itu hakikat yang bernilai, namun yang bijak akan membiarkan ia berlalu pergi dalam masa yang sama memahami hakikat nilai itu pada yang benar-benar bernilai.

Demikianlah perumpamaan yang sesuai, untuk kita menilai ketinggian intelektual masyarakat kita pada hari ini.

Semakin banyak kita cenderung untuk percayai perkara yang zahir dan luaran, semakin jauh diri kita daripada menyelami hakikat dan tabiat kebenaran.

“Tetapi manusia kebanyakannya tidak mengetahui, mereka hanya mengetahui perkara yang zahir daripada kehidupan dunia, adapun mengenai akhirat mereka tergolong dari kalangan orang yang lalai” – surah Ar-Rum : 6-7

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha Agung
Majlis Ulama Isma (MUIS)

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *