Prinsip Bukan Gadaian

Prinsip adalah sesuatu yg menjadi dasar atau pegangan – kebenaran asas atau proposisi yang berfungsi sebagai asas bagi sebuah sistem kepercayaan atau tingkah laku ataupun untuk rantaian penaakulan.

Apakah prinsip bagi Islam?
Sudah tentu Al-Quran dan As-Sunnah. Rukun Islam dan rukun iman itu perlu ditaati. Semua ini komponen-komponen yang wajib ada pada susuk tubuh Muslim untuk memartabatkan diri menjadi seorang Mukmin.

Bagaimana prinsip Islam itu diangkat dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan monarki?

Seperti semua sedia maklum, dalam Perlembagaan Malaysia sendiri memperuntukkan Islam itu sebagai agama persekutuan, agama selain Islam boleh diamalkan tetapi tidak boleh disebarkan dan lain-lain. Malaysia juga punya sistem kehakiman syariah di mana peruntukkannya tidaklah sebesar kuasa mahkamah sivil tetapi masih ada kuasa istimewa yang tersendiri yang khusus untuk masyarakat muslim. Akan tetapi, sudah cukup ke dengan apa yang ada ni saja?

Mestilah tidak. Tidak mustahil dengan apa yang ada sekarang akan musnah dan lenyap.

Prinsip Islam diangkat apabila setiap lapisan masyarakat faham akan prinsip Islam itu sendiri. Maka, perlunya kepada kefahaman terhadap prinsip Islam. Faham dan jelas bagi setiap lapisan masyarakat. Masyarakat majmuk bukan penghalang. Rasulullah dahulu pun sebagai pemimpin bagi masyarakat majmuk di Madinah telahpun berbuat sedemikian. Itu barulah disebut sebagai rahmatan lil ‘alamin.

Allah berfirman mafhumnya :
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! [1] “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. [2] “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. [3] “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. [4] “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. [5] “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”. [6] – Surah Al-Kafirun

“Dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah.”, titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sempena Sambutan Maal Hijrah 1441.

Merujuk Surah Al-Kafirun ayat 1 hingga 6. Tiada toleransi dalam berprinsipkan Islam yang menzahirkan kebenaran. Namun, Islam tidak mempromosikan permusuhan bahkan memartabatkan keharmonian dan keamanan. Prinsip bersifat tegas. Prinsip Islam tidak boleh sama sekali direndahkan semata-mata untuk menjaga hati.

Peranan pemimpin Muslim juga tidak lari daripada perlu untuk memartabatkannya. Itu satu kewajipan. Sekiranya tiada tujuan untuk itu, maka tiada langsung sifat ‘izzah dalam diri terhadap Islam. Walaupun iman seorang muslim itu naik dan turun, itu tidak bermakna ‘boleh’ untuk menggadaikan prinsip. Meratip habuan atau sesuatu yang berkepentingan baginya ataupun bagi bloknya, itu semua bersifat sementara, ‘get then gone’. Bagi bukan muslim, perlu hormat dengan jiwa yang terbuka dan berlapang dada bukannya kerana keterpaksaan mengikut perlembagaan.

Itu pentingnya rakyat pilih seorang pemimpin. Pilih bukan kerana dendam, marah dan seumpamanya. Pilih berdasarkan prinsip yang dipegang, berlaku adil dalam setiap perkara, tidak berbohong dan bersih daripada sifat-sifat buruk bagi seorang pemimpin. Menjadi satu kewajipan masyarakat muslim mengangkat pemimpin muslim. Pemimpin bukan muslim boleh diangkat sekiranya pemimpin itu tiada rekod sejarahnya penentangan terhadap Islam, berlaku adil dan hormat Islam sebagai agama Persekutuan.

Prinsip bukan hanya sekadar atas kertas. Prinsip juga bukan ‘treaty’ semata. Prinsip tetap prinsip, selain prinsip, perlu tolak jauh. Kefahaman prinsip perlu kepada pemahamannya yang secara khusus. Jika terlalu umum, itu sudah antonim bagi sifat prinsip. Prinsip perlu diterjemahkan dalam bentuk amal. Begitulah prinsip yang bersifat tegas, khas dan perlu dipraktikkan. Egoistik dan apologetik juga meleburkan semangat berprinsip, hanya menguntungkan diri sendiri bukannya sejagat.

Anas bin Zamri,
Kuliah Syariah Islamiah
Kaherah, Mesir

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *