Iman dan Himmah ‘Aliyah

Iman adalah sesuatu yang dilafazkan oleh lidah, dibenarkan dengan hati dan dibuktikan dengan tindakan. Bagi seseorang yang mengaku beriman, wajib ada padanya 3 ciri ini. Dia bukan sekadar menyebut aku telah beriman, tetapi dia wajib membenarkan segala perkara yang datang dari Allah itu benar, dengan erti kata lain dia mempercayainya dengan yakin sehingga wujud ketenangan padanya. Seseorang itu juga tidak akan sampai darjatnya melainkan dia membuktikan dengan amalnya dan menyempurnakan rukun Islam. Maka, secara “automatik” dia sudah membuktikan pada Allah bahawa dia sudah beriman.

Himmah pula adalah sesuatu kehendak untuk mencapai suatu objektif tertentu. Manusia secara tabiatnya, sentiasa menginginkan sesuatu yang baru dalam hidupnya. Mereka yang tidak ada keinginan terhadap sesuatu yang baru, kemungkinan dia sebenarnya berada dalam kemurungan. Humum pula membawa kepada maksud seseorang yang pemikiran dan keperihatinannya tertumpu pada suatu perkara. Sebagai contoh, apabila seseorang berada dalam masalah kewangan, maka humumnya adalah untuk mencapai “financial freedom”. Dia akan sentiasa memikirkan cara, peluang, risiko dalam setiap detik hidupnya. Penilaiannya terhadap setiap tindak tanduk akan terpandu dari asas itu.

Muqaddimah ini dapat membawa kita untuk menjawab suatu isu dan fenomena yang biasa dalam kehidupan du’at iaitu kelesuan dalam beramal. Kebiasanya fenomena ini terjadi apabila seorang duat itu sudah melalui suatu tempoh yang lama dalam beramal dan telah melalui satu fatrah dimana segala tenaga dan keringatnya sudah dicurahkan untuk dakwah. Selain itu, ada juga keadaan yang terjadi apabila dia tidak memahami erti disebalik pengorbanan itu. Dia menganggap kerja dakwah yang dilakukan hanyalah untuk mencukupkan syarat sebagai ahli jemaah atau kerana sebab-sebab lain yang menjadikann dia lesu dan akhirnya mengasingkan diri dari kerja dakwah. Lebih parah lagi, apabila kelesuan ini tidak dirawat dan akhirnya membawa kepada terjerumus ke lembah maksiat.

Iman dan himmah a’liyah adalah suatu perkara yang sangat berkait. Kedua-duanya mengambarkan bagaimana kesempurnaan Islam dalam bermuamalah dengan jiwa manusia. Bagaimana iman boleh menghasilkan himmah a’liyah dalam diri pendakwah justeru menghilangkan kalimat lesu dalam kamus hidupnya?

Islam ini diturunkan dengan cukup sempurna. Islam datang sebagai cara hidup untuk diamalkan dalam segenap aspek kehidupan manusia. Tiada satu pun aspek yang diabaikan oleh Islam, dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara dalam kehidupan manusia ada jawapannya. Islam juga datang bukan semata-mata hukum yang menetapkan sesuatu dan melarang sesuatu, tetapi ia juga datang untuk membentuk tasawwur justeru membentuk cara hidup yang diinginkan Allah. Seorang pendakwah hendaklah memiliki tasawwur atau gambaran hidup yang benar-benar menepati apa yang dikehendaki wahyu, dengan erti kata lain segala pandangan dan tafsiran terhadap sesuatu akan dikembalikan kepada Allah semata-mata.

Dia melihat hakikat penciptaannya hanyalah hamba yang mengabdikan diri kepada Allah semata. Dia melihat susunan dan peristiwa dalam hidupnya didatangkan khusus oleh Allah untuk hikmah tertentu. Dia melihat urusan rezeki dan jodoh sudah ditetapkan untuknya, maka dia boleh beri tumpuan pada urusan yang lebih besar. Dia melihat pengakhirannya adalah sama ada syurga mahupun neraka, maka dia akan berusaha membina kehidupan selepas mati dan membina kehidupan di dunia yang fana’.

Firman Allah S.W.T :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Adz-Dzariyat : 56

“Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar); bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.”

Ar-Ra’d : 26

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah lah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”-

Al-Baqarah : 216

“Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).”


Al-Anam : 61

Segala tasawwur ini datang dengan ciri yang sangat istimewa iaitu ia bersifat thabat (tetap); tidak berubah pendirian ini walaupun zaman berubah. Maka dengan keyakinan ini, pendakwah melihat cita-citanya untuk mengembalikan manusia kepada Allah bukan suatu cita-cita kecil dan remeh, tetapi di situ adanya keyakinan dan gambaran yang lebih luas dari itu. Dia yakin dengan apa yang datang dari Allah dan dia yakin itulah yang bernilai di sisi Allah maka itulah yang akan menjadi humumnya.

Pendakwah yang tidak menjadikan humumnya besar, sebenarnya dia sedang menyibukkan dirinya dengan cita-cita yang kecil. Cita-cita yang bersifat sementara dan tidak bernilai disisi Allah; kerehatan, kemewahan, kemasyhuran dan lain-lain.

Adakah kita yakin dengan kelesuan diri kita ini boleh mengembalikan Islam kembali agung? atau persoalan yang lebih besar, adakah kita yakin dengan perfomance diri kita ini sudah mengcukupkan kita untuk ke syurga? Hakikatnya mu’min tidak pernah merasa selesa selagi dia benar-benar belum berada di syurga. Seorang mu’min tidak akan pernah rasa cukup dengan amal dan prestasi semasa. Dia sentiasa ingin memperbaiki diri dan mengembangkan diri kerana baginya itu adalah indikator posisi dia dengan Allah.

Wujud dikalangan kita yang sibuk memikirkan kedai mana yang akan dia lepak pada esok hari. Ada yang mengimpikan nikmat dan kemewahan orang lain, tak kurang juga yang sibuk menghabiskan masa di media social untuk sibuk meng “update” perkembangan orang lain kemudian sambung balik kehidupan dengan rutin yang sama; pergi kelas, balik kelas, cukup masa bfg. Sebenarnya, itu bukanlah ciri pendakwah yang memiliki himmah yang tinggi.

Justeru, para du’at perlu segera bangun dari kelekaan dan kelesuan. Lihatlah lesu itu sebagai penghalang kepada kita untuk selamat di hari perhintungan. Anggaplah lesu ini sebagai maksiat kita kepada Allah; kerana hakikatnya kita sedang mensia-siakan umur dan waktu yang sepatutnya dimanfaatkan  untuk merapatkan diri kepada Allah. 

Jadikan hari-hari sebagai daie’ yang melalui proses tarbiah, mengerjakan amal tajmik sebagai usaha keras kita untuk selamat di akhirat. Letakkan diri kita di posisi hamba yang tertinggi, seorang hamba yang benar-benar mengharapkan habuan akhirat berbanding habuan dunia. Maka dengan itu, kita akan berjalan dengan jiwa yang tinggi.

Firman Allah S.W.T :

“Apa kena dengan kamu, apabila diseru supaya keluar berjuang, kamu menjadi berat. Adakah kamu telah redha dengan kehidupan dunia yang hampir?”

At-Taubah : 38

“Bahkan kamu lebih mengutamakan kehidupan dunia sedangkan akhirat lebih baik dan lebih kekal”

Al-A’laa : 16-17

Ustaz Wan Ahmad Fathin Wan Johari

Pengerusi Isma Mesir

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *