Erti Kemerdekaan

Merdeka satu laungan keramat yang sering berkumandang di serata tempat sebagai pengisytiharan pembebasan mutlak daripada sebarang cengkaman. Revolusi-revolusi yang berlaku adalah natijah daripada tekanan hidup dan penindasan yang berlaku terhadap manusia. Ia ibarat air di empangan yang menunggu masa untuk menghentam sesiapa di hadapannya.

Perkara ini dapat kita lihat dengan jelas seperti di Tunisia, Mesir, Palestin sehingga di negara barat itu sendiri. Secara tabi’enya manusia ini akan tergerak untuk bangkit bila dirinya dihina dan dipijak-pijak.

Bak kata Buya Hamka “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan”.

Hidup ini tidak lagi bermakna jika ia kosong daripada perjuangan dan cita-cita. Dirinya tiada perasaan dan daya untuk melawan semula bagi mengembalikan semula hak bahkan lebih teruk hanya mengikut telunjuk barat. Inilah yang dinamakan ‘jiwa kalah sebelum bertempur’. Hanya mereka yang hidupnya tiada perjuangan sahaja sanggup dicucuk hidung menerima segala apa yang telah disajikan di hadapannya tanpa dapat membezakan baik atau buruk sajian tersebut.

Hari ini kita dapat saksikan bahawa Tamadun Barat telah berjaya melahirkan ramai anak muda yang lekang daripada agama, ketagih hiburan, cintakan keselesaan. Proses penjinakan anak singa itu berlaku secara halus tanpa disedari sehingga hilangnya keperwiraannya.

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sungguh, kalian benar-benar akan mengikuti kebiasaan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kalian pasti akan mengikuti mereka.” Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (HR Musim – Shahih).

Kebanyakan manusia telah terperangkap dalam sangkar yang telah disiapkan rapi oleh Barat. Bermula daripada bangun pagi sehinggalah tidur semula, hidupnya akan mengejar dunia yang sementara sehinggakan terhakis sisi-sisi fitrah dalam kehidupan.

Jika yang bekerja kita akan melihat kurangnya masa yang diluangkan untuk keluarga dan anak-anak dek kerana masanya di pejabat lebih banyak dan balik rumah hanya untuk berehat. Kemudian mengulangi putaran yang sama setiap hari.
Anak muda pula disibukkan dengan hiburan yang berpanjangan seperti game, movie, trend yang berlegar di sekeliling mereka tanpa ada tapisan.

Apa yang kita boleh simpulkan daripada situasi hari ini adalah manusia masih belum benar-benar merdeka sekiranya masih menghambakan dirinya kepada kebendaan yang dikejar sehingga beransur-ansur lalai daripada Allah. Apalah gunanya hidup ini jika kita ada semua benda di tangan tetapi tidak tahu asal usul diri kita dan ke mana halatuju hidup kita?

Para sahabat telah menunjukkan kejelasan misi hidup mereka seperti mana yang ungkapan kata-kata Ribie Bin Amir di hadapan Rustum.

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ، فَمَنْ قَبِلَ ذَلِكَ قَبِلْنَا مِنْهُ وَرَجَعْنَا عَنْهُ، وَمَنْ أَبَى قَاتَلْنَاهُ أَبَدًا حَتَّى نُفْضِيَ إِلَى مَوْعُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami berjaya memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT.”

Abu Bakar As-siddiq juga menyebut
“إنه قد انقطع الوحيوتم الدين، أينقص وأنا حي؟”
Maksudnya : “sesungguhnya telah terputus wahyu dan sempurna agama, adakah ia(agama) mundur sedang aku masih hidup?”

Rantaian belenggu ini tidak akan terlerai daripada diri kita selagimana langkah pertama dalam perjuangan mengekang hawa nafsu tidak dimulakan. Inilah perjuangan asas bagi setiap muslim sebelum kita nak membicarakan tentang kemerdekaan negara dan sebagainya.

Ustaz Muhammad Firdaus bin Fakri

Setiausaha Isma Mesir.

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *