Ramadhan dan Jihad

Bismillah

Antara kegembiraan bagi seorang muslim ialah bila mana dia menerima tetamu agung yang hanya hadir setahun sekali. Di dalamnya terlalu banyak fadhilat yang dicurahkan, terlalu banyak ganjaran yang dijanjikan buat hambanya. Maka itulah bulan Ramadhan yang Allah anugerahkan kepada hamba yang Dia kehendaki.

Sabda Rasulullah S.A.W.:

((  إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين }  (( رواه البخاري ومسلم }

Jika tiba bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu semua syaitan (HR. Bukhari dan Muslim).

Satu gambaran Nabi kepada kita, bahawa suasana Ramadhan yang terlalu barakah dan rahmah, sehingga dibelengu syaitan pada bulan tersebut. Sesetengah kita menganggap Ramadhan bulan untuk kita menambah amalan kita dan mendekatkan diri kepada Allah. Sebab itu kita melihat umat Islam berkejar-kejar melakukan amal ibadah pada bulan Ramadhan dan nikmat bi’ah (suasana) yang Allah kurniakan kepada muslimin bukan sesuatu perkara yg kebetulan dan semata-mata mengumpulkan bekal di akhirat, tetapi besar dari itu sebagai persediaan jihad di jalan Allah.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183 :

{ يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ، لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ }

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Assyahid Syed Qutb menyebut di dalam kitabnya, Fi Zilalil Quran menerangkan bahawa tidak pelik kewajipan puasa ini disyariatkan juga kepada umat yang berjihad fi sabilillah. Tidak lain tidak bukan adalah mempersiapkan umat untuk menegakkan manhaj Ilahi di atas muka bumi ini, menegakkan nilai-nilai kemanusiaan dan menjadi saksi kepada manusia lain. Puasa adalah jalan membentuk  إرادة العظيمة (kemahuan yang kuat) dan صلة مع الرب  (ikatan bersama Tuhan). Dengan dua penekanan unsur ini, generasi salaf mampu keluar berjihad di medan perang dalam bulan Ramadhan dan banyak pembukaan negeri berlaku ketika Ramadhan.

Generasi terdahulu memahami hakikat puasa itu dengan jelas, ia adalah unsur yang penting dalam mempersiapkan mukmin bagi mengharungi jalan dakwah yang pastinya dihiasi dengan rintangan onak dan duri, tarikan nafsu syahwat dan kesenangan dunia. Hanya mukmin yang bersedia dari sudut keimanan dan mentaliti mampu mengharungi jalan ini dengan penuh kesabaran. 

Maka penting juga untuk kita faham, pensyariatan terhadap hamba bukan sekadar memberi maslahat kepada diri dan alam secara umumnya, tetapi lebih besar dari itu adalah ia menjadi persiapan buat seorang hamba dalam memainkan peranannya di atas muka bumi sebagai khalifah dan mendapat kesempurnaan hidup di akhirat.

Akhirnya usaha menjadi hamba yang hidup diatas kehendak Allah adalah kemulian segalanya-galanya. Kerana seorang mukmin, hakikatnya dia sedang mencipta kehidupannya di akhirat. Dia tidak akan tersilau dengan perhiasan dunia yang tidak kekal, dia hanya melihat kepada ganjaran yang bersifat kekal.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Qamar, ayat 54-55 :

{ إِنَّ ٱلۡمُتَّقِینَ فِی جَنَّـات وَنَهَر، فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِنْدَ مَلِيكٍ مُقْتَدِرٍ }

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai. Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya”.

Juga firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Kahf, ayat 46 :

{ ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِینَةُ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَٱلۡبَـٰقِیَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَیۡرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابا وَخَیۡرٌ أَمَلا }

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”.

Ustaz Wan Ahmad Fathin bin Wan Johari,

Pengerusi Isma Mesir

Comments

comments

Leave a Comment