Badan Terbelah Dua

Satu perkara yang sentiasa perlu diingati oleh pejuang Islam zaman kini ialah mereka bukanlah pengasas perjuangan ini, tapi ia adalah mata rantaian yang diwarisi sejak turun temurun bermulanya turun risalah langit ini ke muka bumi. Hal ini bermakna kalaulah mereka rasa zaman sekarang mereka berseorangan ataupun dianggap ganjil, maka hatinya patut dipujuk kerana hakikatnya sejak berzaman lagi pemegang panji kebenaran itu wujud dan mereka adalah ibarat satu keturunan.

Begitulah yang diajarkan oleh Nabi kepada para sahabat, apabila seorang sahabat bernama Khabbab bin Al-Arrat mengadu kepada Nabi dalam satu hadis yang diriwayatkan olehnya sendiri;

شكى خباب إلى النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ ، فقال: ( شكونا إلى رسول الله ـ صلى الله عليه و سلم ـ وهو متوسد بردة له في ظل الكعبة، قلنا له: ألا تستنصر لنا؟ ألا تدعو الله لنا ؟، قال ـ صلى الله عليه وسلم ـ: كان الرجل فيمن قبلكم، يحفر له في الأرض فيجعل فيه، فيجاء بالمنشار فيوضع على رأسه، فيشق باثنتين وما يصده ذلك عن دينه، ويمشط بأمشاط الحديد ما دون لحمه من عظم أو عصب، وما يصده ذلك عن دينه، والله ليتمن هذا الأمر، حتى يسير الراكب من صنعاء إلى حضرموت لا يخاف إلا الله أو الذئب على غنمه، ولكنكم تستعجلون )

( البخاري)

Maksudnya, “kami mengadu kepada Rasulullah S.A.W. ketika beliau berada dekat ka’bah dengan selimut musim sejuknya, kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, berdo’alah kepada Allah untuk kami agar dikurniakan kemenangan!” . Beliau lalu bersabda: “Sungguh telah berlalu pada orang-orang sebelum kalian seorang yang digalikan lubang untuknya, lalu diletakkan gergaji di atas kepalanya hingga membelahnya, namun hal itu tidak menggoyahnya daripada agamanya. Ada yang disikat dengan sikat besi panas hingga terkoyak dagingnya, namun itu tidak mengubah dari agamanya. Dan sungguh, benar-benar Allah S.W.T. akan menyempunakan urusan (agama) ini hingga ada seorang pengembara berjalan dari San’a menuju Hadramaut dalam keadaan tidak takut kepada siapa pun kecuali kepada Allah, atau risau kambingnya akan dimakan serigala.

Akan tetapi kamu adalah kaum yang terburu-buru.”

Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah terhadap ummat Islam ketika itu untuk mentarbiah kekentalan pejuang agamanya dengan teguran keras, “kamu kaum yang terburu-buru”. Tidak boleh bersabar walau dengan sikit sahaja ujian. Tetapi tahukah anda ujian yang telah dilalui oleh Khabbab?

Seksaan terhadap Khabbab ialah badannya dipanggang di atas bara api sehingga yang memadamkan bara tersebut ialah lemak daripada tubuhnya yang cair.

Tetapi ini semua jauh lebih selesa daripada kaum-kaum terdahulu yang diceritakan perihalnya oleh Nabi. Begitu susah payahnya para pejuang Islam zaman dahulu berkorban nyawa dan darah untuk memastikan perjuangan ini terus kekal bersinambungan sampailah ke generasi hari ini.

Oleh itu, satu persoalan yang kita boleh fikirkan ialah adakah tercapai dek logik akal apabila tiba-tiba pejuang zaman hari ini mahukan hidup yang bersenang lenang, malah mengharapkan kepada nilai tolak ansur, kasih sayang, membuka seluas-luasnya ruang kerjasama dengan pengikut kebatilan sehinggalah dipengaruhi oleh mereka secara beransur-ansur tanpa disedari? Sanggup menggadaikan prinsip dan menggunakan justifikasi murahan semata-mata untuk mendapatkan kuasa? Adakah mereka benar-benar beriman dengan nilai-nilai acah murni yang diasaskan oleh Barat dan musuh Islam berupa pelbagai topeng tolak ansur, kasih sayang dan lain-lain untuk mencantikkan imej Islam di mata dunia?

Jauh sangat bezanya perjuangan kita dengan ummat terdahulu kalau begitu rupanya. Kemudian kita mahukan syurga yang sama dengan mereka. Adakah patut? Ini bukan permainan sentimen, ini adalah logik akal.

Yang pasti kita masih dihijab dengan dunia material dan hawa nafsu. Itulah yang menghalang kita daripada kebenaran ataupun kesanggupan untuk berkorban lebih dalam menegakkan kebenaran ini.

Moga-moga kita semua diberi kekuatan seperti ummat pejuang terdahulu yang ditanam tubuh mereka, kemudian diletakkan gergaji di atas kepala mereka, menanti badan dibelah dua. Terbayang rintihan dalam hati mereka,

Terputus segala hijab Kau dan aku
Sampai nanti kita bertemu
Rampas semua, badanku belahlah dua
Ambil semua yang ku ada

Moga aku, kau dan kita semua dapat bebas daripada hawa nafsu dan terus bangkit menjunjung kebenaran ini tanpa ada hijab yang menghalang. Sungguh, material (duniawi) itu benar-benar membutakan kita daripada melijhat tujuan asal kita.

Ustaz Muhammad Bin Hasan
Biro Penerangan dan Dakwah
Calon Master Universiti Al-Azhar, Mesir.

Comments

comments

Leave a Comment