Ubah Diri Dengan Diri Sendiri

Persoalan demi persoalan mengetuk benak fikiran kita, hari demi hari jika dibiarkan berlalu ia akan mengundang mudarat dan bebanan. Persoalan yang mudah namun berat untuk dipraktikkan tapi tidak pernah mustahil bagi orang yang bermujahadah dengannya.

Bagaimana kita ingin berubah? Bagaimana kita ingin jadi orang berubah baik dan lebih baik? Dan bagaimana kita ingin memastikan kehidupan kita bahagia dan bermakna? Dan langkahan kita tidak mundur tapi sentiasa rasa tertolak untuk menjadi hamba Allah yang sejati.

Kesalahan besar bagi orang yang ingin berubah adalah dia merasakan dia tidak layak sehinggakan dia merendahkan dirinya dan akhirnya dia jauh dengan Allah dan manusia yang soleh. Perasaan bersegera untuk melakukan kebaikan dibiarkan sehingga di telan masa walaupun berkali-kali seruan dan bisikan kebaikan menerjah sanubari. Ada kebanyakan dari kita memarahi dirinya, memukul dirinya tetapi tidak melakukan apa-apa akhirnya membawa putus asa dan hidup dalam kegelapan. Naudzubillah. Apakah kita lupa dengan firman Allah Taala:

ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.
(Surah Ar- Ra’d: 11)

وَلَا أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ

Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)
(Surah Al-Qiyamah: 2)

“Perbaiki diri kamu, dan ajaklah orang lain”


Antara usaha pertama orang yang ingin berubah perlu ada BERANI. Berani untuk berubah. Berani untuk mengatakan bahawa ada kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki. Berani untuk menyatakan kebenaran kesalahan diri tanpa menyalahkan orang lain dan memberi alasan. Keberanian itu dari dalam diri kita, perlukan latihan sedikit demi sedikit.  Contoh kisah terdekat yang perlu menjadi teladan buat kita adalah kisah Kaab bin Malik ketika mana sahabat-sahabat yang tidak ikut berperang memberi keuzuran. Bagaimana jawapan beliau kepada Rasulullah apabila ditanya: Wahai Kaab, mengapa engkau tidak ikut sertai kami? Maka jawab Kaab: Tiada keuzuran padaku wahai Rasulullah! Ya! Kaab berani untuk berkata benar walaupun pada ketika itu boleh sahaja beliau memberi seribu alasan namun Allah telah memberikan dia petunjuk berada atas kebenaran. Subhanallah!

Begitu juga berani dalam menyampaikan risalah kebenaran ini. Kita menyedari Islam adalah satu-satunya agama yang diterima oleh Allah Taala namun kita masih takut menyampaikan fikrah Islam yang syumul ini, kita takut dengan celaan dan hinaan orang lalu kita mengambil keputusan untuk berdiam diri. Marilah kita contohi Imam Ahmad bin Hanbal yang berani mempertahankan kebenaran walaupun seksaan yang bakal dihadapi. Fiqh dakwah yang ditanam oleh Imam Ahmad perlu disuburkan oleh generasi ghuraba’ di kala ulama yang berdiam diri dan berpihak kepada musuh serta ketenatan ummah kini.


Keduanya, kita menyedari bahawa kita adalah hamba Allah yang sentiasa mengharapkan keampunan dari Allah di atas kesalahan kita; zahir dan batin. Tidak pernah terlepas melakukan dosa kepada Allah, manusia dan makhluk Allah. Orang yang ingin berubah dan ingin meningkat perlukan Allah dalam hidupnya. Ya! Istighfar dan taubat mampu untuk mengubah diri anda! Istighfar dan taubat mampu memperbaiki kehidupan anda. Allah Taala merakamkan di dalam Al Quran:

فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارً
يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارً
وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّٰتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَٰرًا

Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.
(Surah Nuh: 10-12)

Lihatlah hari-hari kita bermula awal pagi sehingga kita tidur kembali adakah kita telah mencuaikan hak Allah, adakah kita membuatkan orang terluka dengan kita dan kehidupan kita serba tidak kena.. Maka kembalilah kepada Allah dangan istighfar dan taubat memohon kepadaNya dengan bersungguh2 atas kesalahan yang kita sengaja dan tidak sengaja.

Begitu hebat kalam salafussoleh di kalangan sahabat dimulai dengan kata-kata Muaz bin Jabal dan akhirnya menjadi sifir tarbiah: “Duduk dengan kami, kita beriman sejenak!”. Mereka menyedari bahawa iman mereka bertambah dan berkurang. Mereka tidak bersendirian berada di dalam gua mengasingkan diri bahkan mereka mencari teman berada dalam bulatan. Mereka sangat mempraktikkan sunnah Nabi s.a.w “الدين النصيحة” dalam kehidupan mereka bahkan saling menegur antara satu sama lain, menerima nasihat dan sentiasa berada di atas petunjuk kebenaran. Nasihat yang akan diterima mungkin berat sekali ditelan kerana ia bersangkut paut dengan kesalahan dan kealpaan kerana ia melibatkan kesediaan hati. Justeru, boleh menerima nasihat adalah faktor terpenting untuk melakukan perubahan pada diri anda dan sekeliling anda.

Hasan al-Basri seorang tabiien tidak jemu-jemu untuk memegang akhlak ini. Beliau menyanjungi tinggi sifat ini bahkan menganggap menerima nasihat sebagai sepertiga dari kebahagiaan hidup. Ia berkata:

(( لم يبق من العيش إلا ثلاث: أخ لك تصيب من عشرته خيرا : فإن زعت عن الطريق قومك ….))

Tidak ada yang kekal dari kehidupan ini kecuali tiga perkara:
Yang pertama: Anda mempunyai seorang saudara. Dengan persahabatan itu, anda memperolehi kebaikan kerana jika anda menyimpang dari jalan benar, maka dia akan meluruskan.

Justeru, perubahan pada diri sendiri bermula pada kesedaran diri kita sendiri. Murabbi dan teman sekeliling boleh membantu memberi sokongan dan dorongan, namun jika kita tidak bersedia untuk berubah dan meningkat, maka jadilah kita orang yang rugi. Itulah faktor ketiga dan utama untuk melakukan perubahan diri menjadikan nasihat dan teguran batu loncatan dalam kehidupan.

Akhir sekali, mohonlah bantuan doa dan pertolongan dari Allah, kerana Dia yang sentiasa mendengar luahan dan kesalan hambaNYA.

 

Ustazah Maryam Binti Mohd Din
Ahli Aktif Isma-Mesir

Comments

comments

Leave a Comment