Jiwa Kental

Bismillahirahmanirrahim.
Dalam arus dunia yang semakin hari semakin mengganas, kita menyaksikan betapa ramai umat muslimin yang menjadi mangsa keadaan. Kemelut umat hari ini bukan sahaja berlegar dalam isu sosial semata-mata, bahkan lebih parah bila mana ia menyentuh isu kefahaman sebenar terhadap Tauhid. Sepertimana kefahaman para sahabat Generasi Al-Quran yang unik, kefahaman tauhid yang menggerakkan ruh dan jasad supaya membentuk dunia mengikut acuan wahyu.

Gambaran agung yang pernah ditunjukkan sahabat pada awal mereka memeluk Islam adalah kesedian mereka dalam mengikut acuan Islam. Kisah Qa’qa bin Amru dalam satu siri peperangan. Rasulullah pernah bertanya beliau, Siapakah kamu? Kata beliau saya adalah Qa’qa bin Amru.

ما أعددت للجهاد؟ قلت: طاعة الله ورسوله والخيل

Rasulullah bertanya apakah persediaan kamu dalam jihad fi sabilillah? Jawab Qa’qa’: “Ketaatan kepada Allah dan Rasulullah dan seekor kuda.”
Ahli zuhud Ruwaim menterjemahkan kefahaman jalan dakwah apabila ditanya sahabatnya dengan menyebut:

“هو بذل الروح, وإلا فلا تشغل بترهات”

“Ia adalah pengorbanan jiwa, jika tiadanya (pengorbanan) maka kamu sedang sibuk pada perkara yang sia-sia.”
Ibnu Jauzi pernah melaungkan satu amanat ketika di pantai Daljah di Baghdad yang menerangkan hakikat yang sama tentang jalan dakwah ini. Beliau berkata:

“أول قدم في الطريق : بذل الروح۔ ۔ ۔ ۔هذه الجادة, فأين السالك؟؟”

“Langkah pertama di jalan ini ialah pengorbanan jiwa.

Ini adalah serius. Siapakah yang hendak melaluinya?”
Ini adalah sebahagian dari contoh generasi yang memahami tabiat jalan dakwah ini bukanlah dihamparkan dengan permaidani dan bunga-bunga yang bermacam warna sepanjang jalan. Maka secara tidak lansung dia menggilap sifat kehambaan kepada Rabbnya, kerana dia akan sentiasa mengejar pengharapan yang Allah tetapkan meskipun dia terpaksa korbankan jiwanya.
Kunci para Salaf
Dikala duat meraba-raba solusi bagi kebangkitan umat, generasi terdahulu telah meniggalkan panduan yang sangat bermakna hasil pengalaman mereka di atas jalan ini. Iaitu cabut sifat manja dalam diri. Kenapa manja?
Kerana manja ini merosakkan visi hamba itu sendiri. Duat yang terlalu manja, dalam diam-diam sebenarnya sedang meraikan kehendak nafsunya. Dia tidak mampu mengorbankan perasaan rehatnya demi mengembangkan potensi dirinya untuk dakwah. Akhirnya dia akan mengelat dan mengelak dari ditarbiah, seterusnya meninggalkan jalan dakwah yang suci ini. Dia hanya melakukan sesuatu bila selari dengan kehendak diri, itulah yang disebut sebagai penurut nafsu.

Abu Ammar memetik kalam duat yang sedar pada zaman lampau dalam kitab Muntholaq beliau :

“يا هذا : أول الطريق سهل, ثم يأتي الحزن
في البداية : انفاق السرور
وفي التوسط : إنفاق النفس”

“Wahai saudara, permulaan jalan ini mudah, kemudian datanglah peringkat duka
cita.
Permulaannya dengan mengorbankan kegembiraan,
pertengahannya mengorbankan nyawa.”

Mereka jelas kemana perjalanan mereka, dan mereka sedar ia menuntut untuk sifat manja itu dicabut dari jiwa mereka. Sekiranya kita masih beranggapan sikap dan tabiat kita akan berubah dengan suasana yang paling selesa dan selari dengan kehendak diri, maka kita akan menikmati payahnya jalan dakwah dan tarbiah ini. Kerana kita akan rasa berat untuk melaluinya.

Hakikat mereka yang faham tentang hakikat jalan ini, mereka akan menikmati jalan ini dengan penuh ‘izzah. Ini kerana mereka sedar mereka sedang melalui jalan untuk ke syurga. Akhirnya penolak generasi terdahulu dalam menuju pengorbanan jiwa adalah syurga yang dijanjikan buat mereka yang benar.

Firman Allah Taala:

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

“Di kalangan orang yang beriman itu adanya pejuang hebat yang benar terhadap janjinya kepada Allah. Dikalangan mereka ada yang telah syahid dan dikalangan mereka ada yang masih menunggu sebagai syuhada’ dan mereka sesekali tidak menukar prinsip perjuangan mereka.” (Al-Ahzab: 23)

Persoalannya, adakah kita benar-benar ghairah untuk ke syurga? Atau kita hanya inginkan habuan dunia?

Wallahua’lam


Ustaz Wan Ahmad Fathin Bin Wan Johari
Biro Hal Ehwal Dalaman
Ikatan Muslimin Malaysia-Mesir

Comments

comments

Leave a Comment