Memahami Rukun Ukhuwah Dalam Kerangka Jemaah

Asas ukhuwah seorang mukmin, paksinya adalah ikatan aqidah, tautannya adalah kasih sayang, pegangannya adalah perjuangan, kesatuannya adalah persepakatan, hasilnya adalah persefahaman.

Keseronokan kita di dalam dakwah apabila kita mempunyai sahabat bersamanya kita berjalan menempuhi kesusahan, dia menjadi contoh kepada kita di dalam beramal, menjadi qudwah kepada kita di dalam tingkah laku, malah dia adalah sahabat yang sentiasa mengingatkan kita di waktu kita lemah.

Kita berlapang dada dalam setiap teguran, kita bersedia untuk mengubah diri dalam setiap keadaan, kita menjadikan dia sahabat baik dalam kehidupan, sepertimana Umar Abdul Aziz menyebut kepada bekas khadamnya:

”Sesungguhnya pemerintah itu melantik pengawas untuk mengawasi rakyatnya, sedangkan aku melantikmu menjadi penasihat diriku, jika kamu mendengar ucapan yang tidak baik, atau perbuatan dariku yang tidak kamu sukai, maka nasihati aku, dan cegahlah aku darinya.”

Lebih hebat lagi apabila kita mencari seorang sahabat utk mengkritik perkara yang kita benci, sepertimana Maimun bin Mahran berkata kepada sekelompok sahabatnya:
”Katakalah pada saya, apa-apa yang saya benci dihadapan saya, kerana seorang lelaki sejati, belum dapat dikatakan sudah menasihati temannya sehingga ia mampu mengatakan pada sahabatnya perkara yang tidak disukainya dihadapannya”

Dalam mengharungi dakwah, pasti berlaku perselisihan pandangan, ia menyebabkan kita rasa sempit dada apabila berlaku pertembungan, bagi mukmin yang sejati, ia sentiasa berlapang dada dengan sahabatnya, ia merasakan kekhilafan di dalam pandangan adalah perkara kecil, malah ia tidak akan menjejaskan sedikitpun ukhuwah sesama mereka, jiwa mereka besar, mereka tidak merajuk dan tidak kecil hati apabila ditegur, mereka tidak melarikan diri kerana mereka merasakan teguran itu adalah anugerah dari allah kepada hambanya, mereka merasakan segala teguran adalah nasihat yang mengembangkan diri, mereka adalah cermin antara satu sama lain.

Ukhuwah kita bukan ukhuwah biasa-biasa, bukan sekadar berseronok bergembira, bukan sekadar berkongsi minat bersama, bukan sekadar menghabiskan masa bersama, makan dan minum, berjalan bersama bukanlah tujuan utama, malah ukhuwah kita adalah nadi perjuangan di dalam dakwah ini.

Akhir kalam, semailah ukhuwah kita dengan ukhuwah sebenar, kuatkan hati kita untuk terus kental bersama khafilah dakwah, pegang erat tangan sahabat dalam keadaan suka dan duka, hidup kita adalah menyerahkan segalanya untuk dakwah sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w menyebut:

لا اختلاف بينهم ولا تباغض قلوبهم قلب واحد
Tidak ada pertikaian dan kebencian diantara mereka kerana hati-hati mereka telah menjadi satu.

 

Akhukum Fillah
Nik Muhammad Rafie
pengerusi ISMA Mesir

Comments

comments

Leave a Comment