Petunjuk Yang Meninggikan Jiwa Hamba

Melalui ujian-ujian yang menggugat keimanan adalah satu lumrah bagi semua manusia. Sehinggakan Al-Quran menyimpulkan tujuan penciptaan manusia itu sendiri adalah semata-mata untuk diuji.

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)
(Al-Mulk : 2)

Justeru antara formula-formula emas dalam memahami kehidupan kita adalah dengan memahami hakikat ujian hidup yang dilalui. Ujian bukan semata-mata berbentuk musibah atau bencana, tetapi juga pujiaan, kejayaan hidup, atau kemewahan, kerana kesukaran atau kesenangan itu kedua-duanya mampu menguji seorang manusia untuk teguh berada di atas jalan kebenaran. Kebanyakan peristiwa yang berlaku di dalam hidup kita mampu menggugat pegangan kita yang teguh terhadap konsep kehambaan kepada Allah s.w.t. Samada perasaan yang mudah tercalar, kesedihan yang terbawa-bawa, kekecewaan dan putus asa, atau keghairahan untuk mengejar kemewahan membuak-buak, dan keinginan untuk melayan keseronokan, kesemuanya adalah satu gambaran halus yang berlaku di dalam jiwa tatkala ditimpa ujian kesukaran dan kesenangan. Jalan yang boleh membawa kita jauh daripada Allah s.w.t disebut dalam kalimah jama’, menunjukkan kepada bentuknya yang pelbagai.

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Anaam : 153)

(Diriwayatkan dari Ibn Masud : Rasulullah s.a.w pernah melukis kepada kami satu garisan lurus, kemudian berkata ; Ini adalah jalan Allah s.w.t. Kemudian baginda melukis beberapa garis di sisi kanan dan kiri garisan lurus tadi, kemudian baginda bersabda ; Ini pula adalah jalan-jalan, setiap satu jalan itu, syaitan akan menyeru kamu semua kepadanya)

Tetapi bagi seorang hamba yang terus berpegang teguh dengan prinsip-prinsip wahyu yang dihirup dari cahaya Al-Quran dan hadith-hadith Nabi, maka perjalanan ujian hidupnya itu akan dilalui dengan teguh dan tenang. Di dalam membandingkan kehidupan di atas jalan kebenaran dan kesesatan; Allah s.w.t menyebut dengan kalimah (على) yang bermaksud “di atas” pada jalan kebenaran, dan Allah s.w.t menyebut dengan kalimah (في) yang bermaksud “di dalam” pada jalan kesesatan.

قُلْ مَنْ يَرْزُقُكُمْ مِنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ قُلِ اللَّهُ ۖ وَإِنَّا أَوْ إِيَّاكُمْ لَعَلَىٰ هُدًى أَوْ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?” Terangkanlah jawabnya: “Ialah Allah; dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik – (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata “.
(Saba’ : 24)

Ibn Qayyim menyifatkan kalimah (على) disini menggambarkan kepada satu makam yang meninggikan martabatnya, menenangkan perasaannya yang sering bercampur, meneguhkan perilaku dan mauqifnya (keputusan hidup) untuk kekal menuju kepada Allah s.w.t. Sedangkan kalimah (في) di dalam kesesatan itu menunjukkan kepada tenggelamnya pengikut-pengikut itu di dalam kesesatannya.

Maka, pengajaran terbesar disini, melalui ujian-ujian kehidupan dengan prinsip, keimanan, panduan Al-Quran dan sunnah, hanya akan membawa kita kepada anak-anak tangga martabat yang lebih tinggi kepada Allah s.w.t, dan itulah satu kehidupan yang teguh dan menenangkan.

Sedangkan melayan ujian-ujian hidup dengan kelemahan perasaan, kecenderungan nafsu, keputus-asaan, dan mainan-mainan syaitan, hanya membawa kita lebih jatuh dan lemas di dalam kesesatan yang hanya menghuru harakan hidup, menyerabutkan jiwa, sehingga dijauhkan daripada Allah s.w.t.

 

 

 

 

 

 

 

Oleh: Ustaz Abdur Rahman Bin Ahmad Raji
Naib Pengerusi Isma Mesir 2018

Comments

comments

Leave a Comment