Falsafah Kek

0000362_chocolate-layer-cake
Manusia tidak pernah terlepas daripada manisan, terutama manisan yang bernama kek , kerana dengan hanya sesuap sahaja sudah cukup untuk menimbulkan bibit-bibit cinta untuk terus menikmatinya. Mengapa kek menjadi tarikan orang ramai? Hal ini kerana setiap ramuan yang ditaburkan ke atas kek itu memiliki aura dan rasa yang tersendiri sehingga menjadikannya lebih lazat untuk orang lain terus menikmatinya. Itu juga belum lagi termasuk dengan bahan-bahan (tambahan sebagai) penyedap seperti krim yang menyengat, sebiji kek yang penuh dengan kelembutan yang tiada tandingan, hiasan yang  cukup menyenangkan mata-mata insan yang terlalu asyik dengan aroma kek yang cukup sempurna. Mudah cerita, kek yang menepati cita rasa itulah yang menjadi rebutan orang ramai untuk menikmatinya.

Namun, adakah sebiji kek itu hanya sekadar sebiji kek sahaja? Ataupun sebenarnya tiada apa-apa yang lebih kita fikirkan terhadap manisan tersebut? Yang kita tahu, hanya santap sahaja tanpa menghayatinya dan mengetahuinya bagaimana pembuatan itu dilakukan. Sebenarnya, hal ini berkait rapat dengan kehidupan seharian sebagai seorang hamba yang taat pada Allah. Manakan tidak, setiap tindak-tanduk yang kita lakukan ini tentunya memiliki tujuan yang satu, iaitu menjadi seorang hamba di muka bumi ini yang tahu membezakan antara yang benar dan salah. Maka, perlu untuk kita sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sehingga  matahari terbit dari sebelah barat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 123:

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنْفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Yang bermaksud: ‘’Dan takutlah kamu kepada suatu hari di waktu seseorang tidak dapat menggantikan seseorang lain sedikitpun dan tidak akan diterima suatu tebusan daripadanya dan tidak akan memberi manfaat sesuatu syafa’at kepadanya dan tidak (pula) mereka akan ditolong.’’

Kembali semula kepada cerita kek itu tadi. Jika kita sedar, sebiji kek itu sebenarnya membawa pelbagai maksud samada dari sudut pembuatan mahupun rasanya. Jika kita mengamatinya secara teliti, setiap pembuatan yang dilakukan tentunya memerlukan idea yang kreatif di samping penelitian yang jitu terhadap sesuatu resepi dalam memastikan keseimbangan rasa itu mencapai cita rasa semua orang yang menikmatinya. Maka, dengan menepati ciri-ciri yang dikehendaki, sudah tentu kek tersebut akan menjadi lebih bertambah sedap dan sekadar sepotong kek sahaja tidak mencukupi untuk dirasa, malahan lebih bertambah-tambah lagi rasanya hingga merasakan kekenyangan.

types-of-sugar

Sebenarnya, dalam hal ini, apa yang ingin cuba digambarkan dalam pembuatan kek ini ialah bagaimana sebenarnya jalan manusia untuk mencapai syurga Allah. Cuba lihat, kriteria yang diletakkan untuk memastikan kek itu sedap, samalah juga macam mana ciri-ciri yang Allah letak untuk memastikan hambanya mencapai syurga tersebut. Bahkan, dalam al-Quran juga Allah SWT telah menyebut ciri-ciri penghuni syurga seperti dalam surah al-Mukminun dari ayat pertama hingga lapan yang menceritkan golongan yang beriman kepada Allah, khusyuk dalam sembahyangnya, menjaga tingkah laku daripada perkara yang tidak bermanfaat dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa syurga hanya untuk orang-orang yang terpilih sahaja dan menuruti ciri-ciri tersebut.

Rasa kek sudah tentunya manis dan sungguh menggiurkan. Bahan asas untuk menjadikannya lebih manis ialah gula. Apakah signifikasi untuk gula? Gula mengibaratkan suatu perasaan yang menunjukkan rasa keseronokan yang tidak dapat dibayangkan melalui akal. Maka, perasaan itu tentu akan hadir apabila kita berasa seronok untuk melakukan ibadah dengan lebih baik seperti bangun malam (qiamullail), membaca al-Quran (tilawah), solat lima waktu dan sebagainya ataupun kata lainnya,iman. Hal ini bertepatan dengan firman Allah :

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ (٢٨) الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ طُوبَى لَهُمْ وَحُسْنُ مَآبٍ (٢٩

Maksudnya: ‘’(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.’’

Surah ar-Ra’ad,ayat ke 28-29.

Sungguh seronok bukan? Betapa indahnya kalam-kalam Allah yang agung ini hingga membuatkan hambanya terasa tenang dan tenteram hati mereka. Manakan tidak, telah berapa ramai orang bukan Islam yang telah memeluk Islam tidak mengira usia ataupun bangsa, kerana mereka yakin bahawa Allah itu Maha Esa dan percaya bahawa Islam itu agama yang benar. Kerana itu, tanpa gula, maka akan merencatkan rasa kek itu, begitulah juga dengan iman kita yang sentiasa naik dan turun. Maha Suci Allah yang telah menciptakan sekalian alam ini dengan sebenar-benar ciptaan-Nya.

High-Quality-Wheat-Flour-Whole-Wheat-Flour

Apa lagi bahan yang seterusnya sebelum dicampur dengan bahan-bahan lain? Ya, sudah tentu tepung, iaitu bahan yang paling utama sekali dalam proses membuat kek. Kalau tiada tepung, tentu kek tersebut tidak akan menjadi sempurna bentuknya. Namun, pernahkah terfikir bahawa pembentukan kek tersebut merupakan analogi kepada kejadian manusia dicipta daripada tanah? Mungkin sahaja ya atau tidak, namun apa yang membezakan antara keduanya ialah manusia ditiup roh untuk menjadi hamba di muka bumi, manakala kek pula hanya sekadar untuk dijadikan sebagai makanan kepada manusia. Sebenarnya, penciptaan manusia ini merupakan kejadian Allah yang paling sempurna selain daripada penciptaan alam itu sendiri, bahkan Allah berfirman dalam surah As-Shaad ayat 71-74:

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ طِينٍ (٧١) فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ (٧٢) فَسَجَدَ الْمَلائِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ (٧٣) إِلا إِبْلِيسَ اسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (٧٤)

Yang bermaksud: ‘’(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah. Kemudian apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan roh (ciptaan)-Ku kepadanya; maka tunduklah kamu dengan bersujud kepadanya. Lalu para malaikat itu bersujud semuanya, kecuali Iblis; ia menyombongkan diri dan ia termasuk golongan yang kafir.’’

Hanya Adam a.s dijadikan daripada hakikat tanah manakala manusia dijadikan daripada air mani yang terpancar daripada dua tulang sulbi manusia. Masihkah kita ingat bagaimana proses kejadian manusia ini berlaku? Sudah tentunya bermula daripada pencampuran air mani (nutfah), kemudian seketul darah (alaqah), ditambah pula selepas itu menjadi seketul daging (mudghah), tulang yang mendahului otot (Izam & Lahm), janin dan terakhir sekali peniupan roh,maka terbentuklah menjadi seorang manusia. Lihat, betapa uniknya ciptaan Allah yang Maha Mengetahui ini dan benarlah firman Allah :

لَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيم

Yang bermaksud : “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Surah At-Tin, ayat keempat.

Justeru, dalam pembuatan kek, apabila dicampurkan dengan bahan-bahan lain sudah tentu akan membentuk sebiji kek yang mempunyai pelbagai bentuk seperti bulat, segi empat dan sebagainya. Namun, manusia pula hanya satu sahaja iaitu tubuh diri sendiri yang tercipta.

Bahan-bahan sudah siap dan telah pun membentuk sebiji kek yang sempurna. Selepas itu pula terpulang untuk meletakkan apa-apa perisa yang ingin disukai dan terus dipotong untuk dihidangkan kepada orang ramai. Namun, soalnya sekarang, adakah kek tersebut akan terus sampai begitu sahaja tanpa memikirkan apakah yang bakal berlaku selepas itu?

Begitulah juga dengan manusia. Setelah dicipta dan dibentuk menjadi seorang manusia yang sempurna, akhirnya mampu melunaskan tanggungjawab sebagai seorang khalifah di muka bumi. Sebenarnya, untuk menjadi seorang khalifah memerlukan pendidikan yang membina dirinya untuk terus berada di jalan Allah iaitu tarbiah. Tarbiah sebenarnya yang telah banyak memberi serta membantu untuk terus belajar memahami sesuatu tindakan yang bakal dilakukan. Dalam hal ini juga, tarbiah turut menyediakan sistem dan suasana persekitaran yang baik yang boleh membantu seseorang untuk belajar. Dalam setiap potongan kek itu diibaratkan seperti kandungan di dalam pendidikan yang mewakili usrah, riadah, daurah katibah, perkhemahan dan sebagainya. Maka, apabila seseorang itu memperoleh pendidikan yang secukupnya dan baik, maka terbentuklah individu muslim yang hakiki yang memenuhi keperluan dunaiwi dan ukhrawi.

Solusinya, dengan hanya menjadikan kek itu sebagai suatu objek, akhirnya telah banyak merungkai tentang apakah sebenar maksud yang ingin disampaikan dalam memastikan hati- hati manusia ini sentiasa dilindungi daripada segala kejahatan atau bala bencana yang dicipta oleh golongan yang bermusuhkan Islam. Maka, hadirkanlah perasaan yang positif yang akhirnya memberi manfaat kepada manusia di dunia dan juga di akhirat.

Sekian.

Muhd Izzat b. A. Wahab

Tahun 1, Kuliah Ulum Islamiah, Universiti Al-Azhar.

Comments

comments

Leave a Comment