Azam Tahun Baru

IMG_20170128_135816

 

Mungkin tidak lambat lagi untuk saya tulis tentang azam tahun baru ni. Rata-rata, setiap orang pasti akan ada azam atau kata lain, impian yang hendak dicapai. Pertamanya, syukur dan ucapan terima kasih kepada Robbul Aziim, kita masih dapat menikmati kehidupan hari ini. Syukur juga kerana kita masih menikmati nikmat Islam dan Iman. Kita juga syukur kerana adanya orang yang menyayangi kita. Semua benda ini, jarang kita fikirkan dan kita hargai.

“ and He gave you all that you had asked Him (That is, He provided you with everything demanded by your nature and your original capacities) If you enumerate Allah’s blessings, you will not be able to count them. Indeed man is most unfair and ungrateful! “
(Ibrahim : 34)
Ucapkanlah Alhamdulillah…
Mungkin tahun sebelum ini merupakan tahun kebahagiaan dan kegemilangan bagi seseorang. Mungkin juga, tahun kebangkitan bagi individu tertentu. Namun, ada juga yang rasa down kerana mungkin kehilangan orang yang disayangi pada tahun lepas. Ada yang kehilangan ibu. Ada yang kehilangan ayah. Ada juga yang kehilangan bayi pertama. Pastinya, setiap orang ada masa suka, ada masa duka yang mereka hadapi pada tahun lepas.
Apa yang perlu kita lakukan untuk tahun 2017 ?
Pertama sekali, kita MUHASABAH DIRI.
Tahun baru merupakan one step untuk kita bermuhasabah dengan apa yang telah kita lakukan sepnajang tahun lalu. Ada yang Berjaya capai sepertimana azam mereka tahun lalu.
“ Aku berjaya kumpul 20k dalam akaun bank “
“ Aku dapat pergi umrah “
“ Aku dapat turun berat badan 25kg “
“ Aku dah kahwin “
Setiap orang pasti ada azam yang berjaya dicapai. Sekiranya tahun lepas merupakan satu tahun yang penuh dengan kejayaan anda, hendaklah kita ingatkan hati dan diri untuk menjadi seorang yang rendah diri dan beristiqamah untuk memperolehi kejayaan yang lebih besar pada tahun ini.
Dan juga sebaliknya.
Jika tidak berjaya capai dan gagal. Kita harus memastikan supaya kita tidak mengulangi pada masa akan datang. Pastikan jangan kita terus jatuh dan murung pada tahun ini. Kita mesti BANGKIT dari kesemua kegagalan dan kekecewaan yang kita hadapi tahun lepas.
Mengingati masa lalu dan menghadirkan kembali dalam kehidupan kita sekarang. Kemudian bersedih di atas kedukaan dan kegagalan di dalamnya merupakan suatu tindakan hodoh dan gila.
Janganlah anda hidup dalam mimpi-mimpi buruk di masa lalu, atau di bawah bayang-bayang kesedihan masa lalu. Angkatlah diri anda dari fantasi tersebut! Apakah anda menginginkan berbagai musibah dan pengorbanan tersebut berulang kali? Apakah anda mengharapkan matahari kembali ke tempat asalnya, bayi ke perut ibunya, dan air mata ke dalam kelopak mata, padahal semuanya hanya akan mengalirkan kembali air mata anda ?
(Jangan Bersedih : Yang Berlalu Biarlah Berlalu)

Reflect ke dalam diri kita dan kritiklah diri sendiri bertujuan meningkatan dan pemulihan seperti mana tercatat di dalam al-Quran:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya”
(Al-sham : 9).

5 tips bagaimana ingin merangka azam. Tidak terlambat lagi untuk kita rangka list azam baru kita untuk tahun 2017.
Sebelum itu, suka untuk saya kongsikan perihal cita-cita atau azam manusia menurut Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Ianya terbahgi kepada 3 :
Kategori Pertama : Orang-orang yang terdahulu.
Seperti mana kehidupan dan cita-cita para anbiya dan para siddiqin a.salam. Mereka selalu bersiap sedia untuk kehidupan akhirat dan menghadapi kematian. Mereka menumpukan semua perasaan mereka terhadap Allah s.w.t dan patuh akan perintahNya.
Kategori Kedua :
Orang-orang yang bersifat pertengahan dari golongan orang-orang yang baik dan taat. Mereka taat pada Allah. Mereka tidak lupa akan Hari Akhirat. Tidak sepanjang masa bersungguh untuk mengejar kemewahan dunia atau terpedaya dengan syahwat yang membinasakan. Tetapi dalam mereka menjalankan tanggungjawab, mereka tidak sekuat orang-orang dalam golongan pertama.
Kategori Ketiga :
Orang yang terpedaya dan bodoh. Mereka hanya ada angan yang panjang sehingga melupakan dalam urusan akhirat, apatah lagi untuk mengingati soal ajal dan maut. Hati mereka terikat dengan dunia dan sibuk mengumpul harta dunia.

Kita berada dalam kategori ke berapa ? Fikir-fikirkan …

Dibawah ini antara beberapa tips atau garis panduan untuk kita list azam apa yang kita ingin capai pada tahun ini.
1. Niatkan Kerana Allah.

عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب (رضي الله عنه) قال: سمعت رسول الله (صلى الله عليه وسلم) يقول: “إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرئ ما نوى، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها، فهجرته إلى ما هاجـر إليه”.
(رواه إماما المحدّثين)

Maksudnya:

“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar ibn al-Katthab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
Mungkin benda ni ramai yang sudah biasa dengar, tetapi sejauh mana kita mampu jaga niat dalam kita melakukan tugas seharian kita. Niat adalah penting untuk membezakan antara ibadat dengan adat. Niat itu penting untuk membezakan antara amalan yang ditujukan kepada Allah atau kepada yang lain selain Allah.

2. Anggap Azam Kita Sebagai Ibadah.
Usaha memburu kejayaan sebenarnya satu ibadah. Tiap kali berusaha, kita niatkan kerana Allah supaya apa yang kita lakukan menjadi satu ibadah. Semuanya berbalik kepada tip pertama tadi. Bila kita buat tips pertama, yang kedua ini terjadi secara automatic. Moga apa yang kita lakukan dan kerjakan di balas dengan pahala, kerana ianya menjadi sebahagian daripada ibadah.
Dengan itu, jalan untuk kita berjaya dipermudahkan, tanda keredhaan Allah kepada usaha kita. Bekerja dan berusaha untuk mencapai apa jua azam adalah cara untuk kita mendekati Tuhan. Tanpa niat, apa yang kita lakukan tidak menjadi ibadah.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa melakukan demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi”.
“Dan belanjakanlah sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata:”Ya Rabbku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh”
“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
(Al-Munafiqun : 9- 11)
3. Hubungan antara manusia, Hubungan dengan Allah.
Apa sahaja yang kita inginkan ,pastikan kita mendahulukan Allah yang Esa.
Dalam sebuah hadits Qudsi disebutkan :

“Pendekatan diri hamba-Ku yang paling Aku cintai adalah dengan sesuatu yang Aku wajibkan padanya. Dan jika hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri dengan nafilah (ibadah tambahan), sehingga Aku mencintainya.”

(Bukhari).

Berbuat baik dengan manusia sekeliling kita supaya dengan itu kita mendapat redha Allah. Azam tahun ini kita lebih banyak berbakti kepada manusia .Dalam masa yang sama, kita juga meningkatkan kualiti ibadah seharian kita pada Allah s.w.t
4. Set Untuk Kebaikan Bersama.
Apa jua sahaja yang kita mahu capai sebagai azam, niatkan untuk kebaikan bersama bukan untuk kepentingan secara individu. Islam galakkan kita buat sesuatu untuk kebaikan bersama.
Jika ingin menjadi suami solehah, niatkan untuk kebahagiaan isteri anda dan untuk anak-anak anda.
Jika ingin berjaya dalam perniagaan, niatkan kejayaan itu untuk kebaikan anda, keluarga anda dan untuk kebaikan umat Islam.
Jika ingin berjaya dalam pekerjaan, niatkan untuk kebaikan kita bersama rakan-rakan, bukan bangga kerana kita lebih berjaya daripada mereka.
Jika hendak tahu rahsia kebahagiaan untuk tahun ini ? Inilah jawapannya. Perbanyak amalan ini sepanjang tahun ini dan tahun akan datang. Lebih banyak kita memberi, lebih bahagia dan tenang yang akan kita rasa.
Kadang kita akan rasa lebih bahagia jika kita membantu orang yang benar-benar memerlukan. Apa jua yang kita inginkan tahun ini, jadikan tips keempat ini antara salah satu yang kita harus capai.

5. Bersemangat dan Jangan Malas
Ini antara satu sikap yang paling sukar untuk kita lawan dalam menghadapi hari-hari di tahun baru. Kebiasaan minggu pertama kita akan bertenaga dan bersemangat untuk melakukan kerja. Namun, semakin hari semakin pudar semangat untuk melakukan sesuatu. Ingatlah ! Kebahagiaan tidak akan dapat diraih hanya dengan tidur yang panjang, bersikap bodoh dan meninggalkan nilai-nilai yang tinggi. Mungkin kita akan rasa lelah atau letih. Namun itu tidak bermakna kita perlu berehat panjang dan terus meninggalkan apa yang kita ingin capai. Berehat sebentar ! Kemudian, BANGKIT. Jangan malas !

Rasulullah s.a.w pernah berdoa :
(Ya, Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari sifat malas)

Dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda :
Orang yang cerdik adalah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya dan berbuat untuk kehidupan setelah mati. Sedangkan orang bodoh adalah orang yang menurut hawa nafsunya dan banyak berangan-angan yang bukan-bukan kepada Allah.

Apa jua senarai azam baru kita kali ini, pastikan kita mesti capai.
Not I Wish, But I Must
Kita bukan sekadar mengharap agar azam atau cita-cita kita tercapai. Akan tetapi, kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan azam tersebut. Ingatlah ! Kehidupan kita bukan hanya di dunia sahaja. Apa jua yang ingin azam dan citakan, kita juga harus menitik beratkan kehidupan di akhirat sana.
Apa azam anda pada tahun ini ? Kongsikan bersama …

 

Oleh : Abdul Rauf Bin Badrul Hisham
Tahun ke-3, Universiti Tanta, Mesir

Comments

comments

Leave a Comment