Mahasiswa Malaysia Di Mesir Digesa Perbaharui Visa Secepat Mungkin

images (4)

MADINAT NASR, 18 Januari – Berikutan insiden beberapa orang mahasiswa Malaysia yang ditahan di Iskandariah akibat gagal menunjukkan pasport kepada pihak berkuasa tempatan tempoh hari, pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) menggesa seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir untuk sentiasa peka dan ambil penting terhadap isu ini.

“Bagi pihak KBMK, suka saya menasihatkan agar semua mahasiswa Malaysia di Mesir peka akan kepentingan mempunyai visa yang sah dan pasport yang belum luput tarikhnya. Jadikan ia sebagai keutamaan kerana kegagalan memiliki visa atau tidak menguruskan pasport dengan baik akan memberikan implikasi yang tidak diingini seperti ditahan pihak berkuasa, disyaki sebagai pendatang asing tanpa permit dan sebagainya”, kata Setiausaha Kedua (Pendidikan) di KBMK, Ustaz Hj. Ahmad Zakuan Md Khudzari ketika dihubungi wartawan Isma Mesir semalam. “Oleh itu, saya pohon semua pelajar dapat mengingatkan rakan-rakan sekuliah dan serumah akan kepentingan visa dan menjaga sebaiknya pasport masing-masing”, tambah beliau lagi.

Selain itu, Ustaz Umar Farouq Bin Morhalim, Pengerusi Isma Mesir sesi 2017 turut memberi nasihat kepada seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir untuk sentiasa mematuhi undang-undang keselamatan yang telah digariskan Kerajaan Mesir sepanjang keberadaan mereka di negara ini. “Sebagai mahasiswa yang sedang menuntut ilmu di Mesir, kita perlu menepati sebarang undang-undang yang telah digariskan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, saya menyarankan kepada semua mahasiswa agar memperbaharui visa secepat mungkin dan memastikan pasport belum luput tarikhnya dan sentiasa dibawa bersama. Hal ini berikutan insiden-insiden yang telah berlaku baru-baru ini yang melibatkan mahasiswa Malaysia”, ujar beliau.

Comments

comments

Leave a Comment